Pembahas usul perlu kemukakan idea - Rais
KUALA LUMPUR, JUMAAT, JUMAAT, 30 November, 2012: Pembahas usul di Perhimpunan Agung UMNO 2012 disaran supaya menjana lebih banyak idea serta cadangan bagaimana untuk membina dan memperkasa UMNO.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO, melahirkan kebimbangannya jika ada pembahas yang lebih menekankan kepada aspek melahirkan rasa tidak puas hati daripada membantu memberikan pandangan dalam memperkasa parti.
Para pembahas perlu menterjemah intipati ucapan dasar Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbahasan mereka dengan mengemukakan analisis, cadangan serta program yang patut dilaksanakan terutama dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13, katanya kepada pemberita di luar perhimpunan itu di sini hari ini.
"Tidak ramai anggota perwakilan yang menyusuri ucapan presiden parti dan menterjemahkannya kepada idea pembaharuan, tindakan atau langkah bagi memperbaiki keadaan di bawah.
"Saya zahirkan kebimbangan terhadap terlampau banyak ucapan yang menyatakan masalah atau rungutan iaitu sentimen tidak puas hati," katanya.
Rais memberi contoh pembahas dari negeri di bawah pakatan pembangkang seperti Pulau Pinang dan Selangor, sewajarnya tampil dengan idea serta cadangan bagaimana untuk menguasai semula kedua-dua negeri itu pada PRU ke-13 nanti dan bukannya sekadar membangkitkan masalah yang ditimbulkan pakatan pembangkang.
Mungkin ramai pihak tak setuju dengan padangan ini, tapi kiranya UMNO hendak kembali menjadi parti yang perkasa, isu-isu inilah yang harus diterjemahkan dalam bentuk cadangan," katanya.
Selain itu Rais berkata pembahas juga perlu memberi tumpuan kepada usaha yang perlu dilakukan untuk mendekati golongan muda yang menurutnya merupakan 60 peratus daripada jumlah pengundi di seluruh negara.
"Apa program yang sewajarnya diketengahkan, bagaimana bertindak terhadap pengundi yang kini berjumlah 13 juta lebih. Apa harus kita buat kepada pertambahan pengundi seramai 2.9 juta orang...semuanya tidak dijawab oleh pembahas," jelas Rais.
Menyentuh ucapan presiden UMNO supaya PRU ke-13 tidak dijadikan uji kaji, Rais berkata adalah sangat berbahaya jika rakyat membuat percubaan untuk menukar kerajaan kerana ia ibarat menjual negara kepada pihak tidak bertanggungjawab.
Pada masa sama, Rais menyifatkan percubaan "alih-alih rasa" itu bukan sahaja tindakan tidak berjasa, malah perbuatan yang tidak memberi asas kepada tamadun bangsa.
"Percubaan transformasi yang kita perlu tanam ialah kerajaan buat perubahan, bukan gantikan kerajaan, sebab sudah banyak sumbangan kita pada agama, bangsa dan negara," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment