Najib, Muhyiddin bersama lebih 7,000 jemaah solat Jumaat di PWTC
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 nOVEMBER, 2012: Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama lebih 7,000 jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012.
Khutbah dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang kemudian mengimamkan solat sunat hajat sebaik selesai solat Jumaat.
Dalam khutbahnya, Jamil Khir mengimbau peristiwa Hijrah yang disifatkan sebagai peristiwa penting di dalam kalendar Islam dan adalah titik permulaan kepada terbentuknya empayar Islam yang kuat.
"Namun begitu peristiwa hijrah ini tidak akan berlaku tanpa dukungan daripada semua pihak, remaja saidina Ali (bin Abi Talib) yang menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW, Asma (binti Abi Bakar), sahabat setia, Abu Bakar (Saidina Abu Bakar As-Siddiq) dan Abdullah (bin Abi Bakar) yang menjadi penunjuk jalan mereka ini adalah himpunan kejayaan hijrah.
"Peristiwa ini seharusnya menjadi pengajaran besar untuk kita melihat keadaan umat Islam pada hari ini. Semangat perpaduan umat Islam dalam peristiwa itu sehingga sanggup berkorban harta dan nyawa perlu dihayati dalam membentuk sebuah negara yang utuh," katanya.
Dengan memberi penekanan utama kepada konsep perpaduan ummah, Jamil Khir berharap peristiwa hijrah itu akan memberi pengajaran kepada orang Melayu dalam membentuk negara ke arah kejayaan.
Jemaah menjadi sebak sehingga ada yang menitiskan air mata ketika Jamil Khir membacakan doa selepas solat hajat yang memohon kepada Allah supaya menyatupadukan umat Islam di seluruh negara. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment