My Add

Friday 30 November 2012

Kenaikan kos haji belum diputuskan

SEPANG, KHAMIS, 29 November, 2012: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menegaskan masih terlalu awal untuk mengandaikan kos tambang haji akan mengalami kenaikan di masa hadapan, ekoran kerja-kerja pembesaran kawasan Masjidil Haram di Mekah.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Paduka Ismee Ismail berkata, sehingga kini, pihak TH tidak dimaklumkan sama ada kerja-kerja pembesaran itu akan membabitkan kerja merobohkan bangunan yang menjadi tempat penginapan jemaah haji Malaysia.

“Jika ada kita perlu lihat berapa banyak bangunan TH yang akan terlibat kerana kesannya sudah pasti kepada kos penginapan jemaah haji Malaysia.

“Kita tidak nafikan bila jumlah bilik berkurangan, maka harga penginapan akan meningkat, sekali gus memberikan kesan kepada tambang haji," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut kepulangan 351 jemaah haji Malaysia dan petugas TH yang merupakan kumpulan terakhir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia tiba di KLIA

Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia seramai 351 orang termasuk 30 petugas Lembaga Tabung Haji tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini menerusi pesawat MH821.

Mereka yang tiba pada pukul 2 petang disambut Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail.

Abi Musa Asa'ari berkata kepulangan kumpulan terakhir itu menandakan tamatnya operasi haji tahun ini yang secara keseluruhannya berjalan lancar.

Bagaimanapun tujuh jemaah masih dirawat di hospital di Mekah dan Madinah akibat pelbagai masalah kesihatan dan hanya akan dibawa pulang setelah dibenarkan pihak hospital, katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan para jemaah di sini hari ini.

Menurutnya pada musim haji kali ini seramai 54 jemaah meninggal dunia di Tanah Suci berbanding lebih 70 orang tahun lepas. - UTUSAN
 

No comments:

Post a Comment