My Add

Friday 30 November 2012

Kerjasama parti komponen BN tulus

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 November, 2012: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, tidak seperti parti pembangkang, UMNO bukanlah sebuah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam kerjasama dengan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, gabungan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas tidak bertunjangkan ketulusan dan keadaan ini dapat dilihat di dua buah negeri.

"Di Pulau Pinang yang diterajui DAP, Pas tidak menyertai kerajaan manakala di Kedah yang diterajui Pas, DAP tidak menyertai pentadbiran. Kita maklum puncanya kerana mereka saling tidak mempercayai antara satu sama lain," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO 2012 di PWTC di sini, hari ini.

Najib turut menyingkap tabir di sebalik dakwaan DAP yang mendabik dada sebagai parti yang paling demokratik di negara ini dengan bertanyakan: "Sungguhkah bagai dicanang, apa cerita sebenar dalam DAP?"

Menurut beliau, semua orang mengetahui DAP ialah parti 'anak, bapa dan menantu'.

Katanya, walaupun hanya memegang jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim Kit Siang ialah individu yang paling berkuasa dalam DAP.

"Anaknya pula Setiausaha Agung parti dan Ketua Menteri Pulau Pinang manakala menantunya pula ahli dewan undangan negeri merangkap Naib Pengerusi Seksyen Wanita DAP.

"Begitulah juga dengan PKR yang melibatkan suami, isteri dan anak. Si suami adalah Ketua Umum yang tidak dipilih, isterinya Presiden parti manakala anak sulung pula Naib Presiden," katanya.

Perdana Menteri menegaskan, perbezaan besar antara BN dan pembangkang ialah janji dibuat untuk ditepati bukan seperti pembangkang yang sering berkata palsu apabila memancing undi dan sesudah menjadi kerajaan semuanya kosong belaka.

Presiden UMNO itu mengambil contoh bagaimana pembangkang menabur janji kepada penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang semasa pilihan raya umum tahun 2008.

Pakatan pembangkang juga kata beliau, bercelaru dan kelam kelibut dengan hala tuju masa depan negara sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, sebuah negara teokratik atau sebuah negara berkebajikan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment