NS tidak akan ditawan pembangkang
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 November, 2012:: Dakyah pembangkang bahawa Negeri Sembilan bakal ditawan pakatan pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dibidas perwakilan negeri itu yang tegas menyatakan ia akan terus dipayungi UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Ketua UMNO Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, UMNO Negeri Sembilan mempunyai ramai tokoh dan pemimpin yang bersedia berjuang untuk membawa kemenangan besar kepada kerajaan sedia ada.
Beliau menamakan beberapa 'orang kuat' seperti Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan yang akan memacu jentera parti negeri menghadapi pilihan raya.
"Tunggu dan lihat, bila semua pemimpin dan nama besar ini bergerak, sudah pasti Negeri Sembilan akan kita kuasai dengan majoriti besar pada PRU-13," katanya lantang ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di sini hari ini.
Jalaluddin turut yakin anak muda di negeri itu sentiasa bersama UMNO dan BN walaupun sering dihasut pembangkang yang menuntut perubahan berbekalkan contoh-contoh yang tidak boleh dipakai di Malaysia seperti kebangkitan rakyat di Mesir.
Seperti pembahas-pembahas terdahulu, Jalaluddin tidak ketinggalan 'membelasah' pembangkang terutama PAS yang sebangsa dan seagama tetapi enggan bersatu dengan UMNO demi kepentingan ummah.
"PAS kata UMNO murtad kerana zalim kepada rakyat. Zalim ke buat pembangunan, bagi pekerjaan dan bantuan kepada rakyat? PAS pula sekadar bercakap dan berceramah. Kalau UMNO macam Israel yang bunuh, rogol dan samun lebih 1.5 juta rakyat Palestin di Gaza, bolehlah dikata zalim," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment