My Add

Friday 30 November 2012

Perdana Menteri lancar akhbar digital Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 November, 2012: Langkah proaktif Utusan Melayu (M) Berhad yang memperkenalkan akhbar digital Utusan Malaysia sebagai salah satu produk baru mendapat pujian daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Perdana Menteri, pendekatan yang diambil Utusan itu merupakan langkah tepat kerana pembaca sekarang banyak menggunakan gajet sebagai medium untuk mendapat akses kepada informasi.

“Saya kagum dengan langkah Utusan. Ia satu usaha bagus serta wajar dipuji kerana kelebihan e-paper ia lebih interaktif dan mudah untuk diakses sesuai dengan perkembangan semasa dunia teknologi.

“Saya percaya usaha sebegini membolehkan Utusan menyampaikan dasar-dasar kerajaan secara lebih baik kepada rakyat," katanya semasa melancarkan akhbar digital itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Akhbar digital Utusan Malaysia menampilkan lima nilai tambah iaitu multimedia interaktif, galeri foto dan video, carian pantas, capaian keluaran lepas serta sokongan pelbagai platform dengan harga langganan serendah RM20 sebulan.

Ia merupakan pakej harga langganan akhbar digital termurah di pasaran dengan pelanggan boleh melayari akses berita melalui web, telefon bimbit pintar, adroid serta iPad.

Sempena majlis pelancaran itu, Perdana Menteri turut meluangkan masa melawat pameran Kumpulan Utusan mengenai liputan perjuangan UMNO dan pemimpin negara bermula pemerintahan Tunku Abdul Rahman sehingga sekarang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment