My Add

Friday 30 November 2012

Bapa selamatkan anak dalam kebakaran tiga rumah kedai

KOTA BHARU, JUMAAT, 30 November, 2012: Seorang bapa bertindak nekad menyelamatkan anak perempuannya dengan meredah api kebakaran di tingkat atas sebuah rumah kedai tiga sederet di Kampung Pasir Tumboh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Rozman Mahmud, 44, bergegas ke tingkat atas rumah kedainya setelah diberitahu seorang pengawal keselamatan yang melihat asap daripada tingkat atas rumah kedai terbabit.

"Saya sedang membantu isteri menguruskan kedai makan di tingkat bawah apabila diberitahu mengenai asap berkepul-kepul keluar daripada tingkap di bahagian atas rumah.

"Saya terus ke tingkat atas dan menendang pintu bilik tidur anak kedua, Nusyafikah, 14, walaupun ketika itu api sedang marak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Kebakaran itu menyebabkan dua buah rumah kedai berdekatan kedai makan terbabit turut hangus dan menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir dua kilometer di tempat kejadian.

Rozman berkata, beliau bersyukur kerana dua lagi anaknya tidak berada di kedai kerana yang sulung sedang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, Kedah, manakala anak bongsunya ke pasar tani berdekatan rumah.

Isteri Rozman, Izaifah Ismail, 42, berkata beliau sedang melayan pelanggan dan diberitahu oleh mereka mengenai kebakaran itu yang berlaku begitu cepat.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.30 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian mendapati kira-kira 50 peratus rumah kedai tersebut sudah terbakar.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran sedang disiasat. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment