Gencatan: Lebih bantuan ke Gaza
KUALA LUMPUR, RABU, 28 November, 2012: Gencatan senjata susulan konflik berdarah di Gaza merintis laluan kepada lebih banyak negara untuk menghantar bantuan yang amat diperlukan ke wilayah kecil yang dikepung itu, kata seorang pegawai Hamas.
Ketua hubungan antarabangsa Hamas, Usamah Hamdan berkata, pada masa ini, Mesir menggalakkan pihak yang ingin membantu penduduk Palestin supaya menggunakan lintasan Rafah sebagai pintu masuk.
"Ini memang memberi semangat, dan pada pengetahuan saya, dalam sehari dua ini, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia akan bergerak menuju ke Gaza.
"Saya harap ini akan menggalakkan pihak lain untuk mengambil langkah serupa," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, Hamas sedang menggalakkan usaha untuk menyebarkan maklumat kepada dunia luar tentang situasi dahsyat yang dialami penduduk Palestin dengan harapan agar lebih banyak bantuan dan sokongan terus disalurkan.
Laporan media menyebut konflik antara tentera Israel dan Hamas di Gaza mengorbankan lebih 100 penduduk Palestin sebelum kedamaian sementara dicapai antara kedua-dua pihak.
Mengulas lanjut, Usamah mengambil maklum bahawa rakyat dan kerajaan Malaysia bersatu padu dalam menyokong penduduk Palestin, dan keadaan ini tidak didapati di sesetengah negara lain.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Jawatankuasa Hubungan Antarabangsa Fatah, Dr. Abdallah Abdallah berkata, penduduk Palestin mahu lebih daripada sekadar gencatan senjata.
"Kami mahu semua pencerobohan, serangan tentera oleh Israel di samping perampasan tanah dan pengyahudian kawasan suci turut ditamatkan," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment