My Add

Thursday 29 November 2012

Najib rasmi Perhimpunan Agung UMNO 2012

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 November, 2012: Majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2012 dimulakan dengan upacara perbarisan dan menaikkan bendera Umno di Dataran Putra, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden UMNO tiba pada pukul 9 pagi bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan disambut timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pemimpin UMNO lain.

Najib, yang berpakaian baju Melayu biru, diiringi Muhyiddin dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ke pentas khas untuk menerima tabik hormat daripada komander perbarisan ketiga-tiga sayap UMNO, Wanita, Pemuda dan Puteri iaitu Mohd Noor Afindie Rositi.

Beliau dengan diiringi Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaludin dan Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memeriksa perbarisan 150 anggota ketiga-tiga sayap UMNO.

Najib kemudian menaikkan bendera UMNO "Sang Saka Bangsa" dengan diiringi nyanyian lagu UMNO "Bersatu, Bersetia, Berkhidmat" oleh anggota parti.

Perhimpunan agung kali ini, yang berlangsung selama lima hari, bermula Selasa lepas dengan Perhimpunan Agung ketiga-tiga sayap parti itu melibatkan 2,973 perwakilan dari semua bahagian UMNO seluruh negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment