My Add

Friday 30 November 2012

Hamas sambut baik "kedutaan pertama di Palestin"

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 November, 2012: Hamas memberi respons positif kepada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Malaysia berhasrat menjadi negara pertama membuka sebuah kedutaan di ibu kota Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak.

Menyifatkan langkah itu sebagai sangat bermakna, Ketua Perhubungan Antarabangsa Hamas Usamah Hamdan turut mengambil maklum bahawa ia menggambarkan pendirian positif kerajaan Malaysia dan kepimpinan UMNO terhadap Palestin serta rakyatnya.

"Kami berharap ini akan memberi inspirasi kepada kerajaan Arab dan Islam serta komuniti antarabangsa untuk mengambil pendirian serupa menyokong Palestin," katanya di luar Persidangan Agung UMNO 2012 yang dirasmikan oleh Najib, selaku presiden UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Najib menyatakan tentang kemungkinan Malaysia menjadi negara pertama membuka kedutaan di ibu kota Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak, semasa menyampaikan ucapan dasar pada majlis perasmian perhimpunan agung UMNO itu.

Dalam ucapan itu, Najib berkata Malaysia komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin.

Perkara itu disentuh ketika beliau menghuraikan tentang pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara Islam, membolehkannya melaksanakan peranan penting di persada antarabangsa, termasuk menghantar pasukan pengaman ke negara berkonflik seperti Bosnia, Somalia, Lubnan dan Afghanistan, serta menjadi perantara dalam perjanjian damai di selatan Filipina.

Usamah, yang dijemput menghadiri beberapa acara anjuran UMNO yang diadakan sempena perhimpunan agung itu, menyuarakan harapan agar kedutaan yang bakal dibuka kelak akan membantu dalam pembinaan semula Palestin. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment