My Add

Friday 30 November 2012

Urut sambil beramal semasa Perhimpunan Agung UMNO

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 November, 2012: Perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2012 yang mengalami sengal badan setelah seharian duduk mendengar ucapan berapi-rapi para pembahas boleh berehat sebentar dan 'memanjakan diri' menerusi sesi urut sambil beramal yang ditawarkan di aras tiga Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Menurut Tengku Muslim Ab Karim, 60, pengusaha Pusat Rawatan Amal yang menawarkan khidmat itu, satu pertiga daripada kutipan akan disumbangkan kepada tabung operasi Pusat Tahfiz Amal (PTA) serta pembinaan Kompleks Pendidikan PTA di Kuala Kedah.

Beliau memberitahu Bernama hari ini, antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah berbekam dan urut tapak kaki dengan bayaran RM20 hingga RM30 setiap sesi yang mengambil masa setengah jam.

Tengku Muslim berkata, PTA beroperasi sejak 2005 bagi memberi peluang kepada anak-anak yatim dan miskin mendapatkan pendidikan agama.

"Kami berpegang kepada konsep tidak mengambil keuntungan daripada pendidikan agama dan memerlukan sumbangan masyarakat terutamanya umat Islam bagi menentukan sekolah tahfiz ini dapat terus membantu anak-anak yatim dan miskin mendapatkan pendidikan agama," katanya.

Beliau berkata mereka yang ingin menyumbang boleh menghubungi pihak sekolah di talian 04-7647640. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment