Sokongan rakyat di luar negara kepada UMNO, BN kian kuat
KUALA LUMPUR, RABU, 28 November, 2012: Sokongan golongan muda tanpa mengira kaum khususnya yang berada di luar negara kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) semakin kuat hasil transformasi kepimpinan di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Gembira dengan perkembangan positif itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lebih banyak program dan aktiviti berbentuk inklusif perlu digerakkan Kelab UMNO Luar Negara kerana mereka merupakan duta kecil dalam menjelaskan dasar kerajaan.
Katanya, sebagai sebuah kelab yang mewakili suara orang muda, aktiviti sedemikian perlu diperluaskan kepada seluruh rakyat Malaysia di luar negara tanpa dibatasi sempadan agama dan bangsa kerana akhirnya mereka adalah warganegara yang perlu didekati.
"Saya tengok pendirian orang muda berbanding sebelum ini dengan ketaksuban kepada parti-parti tertentu sudah berubah. Hari ini saya melihat banyak ruang untuk kita meyakinkan mereka bahawa di bawah kepimpinan Najib banyak perubahan sedang dilakukan.
"Kita mendengar suara yang diluahkan golongan muda sebab itu ketaksuban mereka tidak lagi menebal seperti dahulu tapi yang penting Kelab UMNO Luar Negara perlu mencari kaedah terbaik sesuai dengan selera dan cita rasa mereka," katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dan mesyuarat dengan 65 Kelab UMNO Luar Negara, di Bilik Kuala Lumpur, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Mengulas mengenai pertemuan itu, Hishammuddin berkata, beberapa idea baharu dari sudut pandangan golongan muda dikemukakan Kelab UMNO Luar Negara kepadanya untuk diterjemahkan oleh ibu pejabat agar parti terbesar orang Melayu tersebut terus kekal relevan.
"Menariknya idea ini dikemukakan bukan semata-mata dari sudut pandangan tetapi berdasarkan pengalaman mereka sendiri yang menuntut di luar negara setelah melihat ekonomi Eropah menjunam dan revolusi di Arab yang banyak membawa kemudaratan.
"Mereka ini sedar dan memahami dalam keadaan golongan muda menuntut kepada perubahan, transformasi yang telah dan bakal dilaksanakan Perdana Menteri adalah model terbaik kerana ia bukan perubahan yang akhirnya membawa kepada kemusnahan seperti di Arab," katanya. - UTUAN
No comments:
Post a Comment