Badan koordinasi selaras bantuan ke selatan Filipina
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 November, 2012: Satu badan koordinasi akan diwujudkan untuk menyelaras bantuan dari Malaysia ke selatan Filipina, antaranya dalam aspek kemanusiaan, kewangan, pelaburan dan kebajikan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata badan koordinasi itu juga akan membantu melaksanakan secepat mungkin program-program seperti pembangunan yang dirangka ekoran perjanjian damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dengan kerajaan Filipina yang ditandatangani bulan lepas.
"Masyarakat Bangsamoro mahu tindakan segera dilakukan secepat-cepatnya tiga bulan selepas perjanjian dibuat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi MILF yang diketuai pengerusinya Al-Haj Murad Ebrahim di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata beliau juga telah berbincang dengan Menteri Pertahanan Filipina mengenai beberapa perkara yang dipersetujui oleh kedua pihak supaya kemajuan dan pembangunan dapat dilaksanakan di Mindanao.
"Ada kemungkinan seseorang akan dilantik untuk menjadi koordinator dalam aspek yang saya sebutkan tadi, tetapi biarlah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak umum secara rasmi," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment