UMNO bukan parti sosialis - PM
*NAJIB Tun Razak memeriksa perbarisan yang terdiri daripada ahli Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dalam Majlis Perbarisan dan Upacara menaikkan bendera UMNO di hadapan Menara UMNO di PWTC, semalam. |
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 November, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan, tindakan pihak tertentu menuduh UMNO sebagai parti nasionalis yang sekular amat tersasar.
Presiden UMNO itu menegaskan, parti tersebut sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam seperti mana termaktub dalam Perlembagaan parti, sesuai dengan kedudukannya sebagai agama Persekutuan.
Sambil merujuk kepada tindakan Pas mendoakan kehancuran UMNO, Najib mempertikaikan apakah sebuah parti seperti UMNO yang menguruskan ehwal pentadbiran negara dengan begitu cemerlang layak dituduh sebagai tidak Islamik dan dinista.
"UMNOlah parti yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara hidup syumul di negara ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa selama berpuluh-puluh tahun semenjak merdeka, syiar Islam yang murni, begitu meluas di negara ini, yang bukan terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayat," katanya.
Najib menegaskan demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Perdana Menteri yang mengimbas sumbangan Malaysia dalam beberapa konflik melibatkan umat Islam di seluruh dunia menegaskan, janganlah sumbangan kepada Islam hanya diukur dengan tahap retorik dan kuat bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar isi kandungannya tidak seberapa.
Sehubungan itu, Najib menegaskan, UMNO komited bagi terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, akal, maruah dan keturunan.
"Kita tidak rela untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam, UMNO tidak sekali-kali akan mencaci atau menista saudara seagama seperti parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurnian akidah.
"Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasa-basi lagi bahawa kita menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman pluralisme mahupun liberalisme," tegasnya.
Najib juga mengingatkan Pas supaya cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat dengan melemparkan pelbagai tuduhan kepada UMNO.
"Kita dapati hari ini, pemimpin yang sama dan parti yang sama mengecam UMNO itu sudah tidak lagi memperjuangkan negara Islam, sebaliknya pula mahu menubuhkan negara berkebajikan.
"Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah parti yang menentang penubuhan negara Islam serta mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara sekular," katanya.
Beliau berkata, tidak mengapa jika perbuatan berkenaan tidak melibatkan orang lain tetapi apa yang tragisnya, ia telah menjadi pesta fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan kepada UMNO serta seluruh rakyat Malaysia. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment