KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 November, 2012: Ahli UMNO hari ini diingat bahawa mereka adalah kelompok yang terpilih untuk memikul amanah dalam mempertahankan konsep kesederhanaan yang dipraktikkan Barisan Nasional (BN) untuk membawa kejayaan dan kemakmuran berterusan kepada negara.
Oleh itu, Ketua UMNO bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsol Bari Jamali berkata, setiap ahli UMNO perlu menghayati betapa pentingnya tanggungjawab bersama itu untuk memenangkan parti pada pilihan raya umum akan datang.
"Kalau kita tidak boleh memuji, janganlah kita mengeji, kalau tidak boleh menambah janganlah kita mengurangkan, kalau tidak boleh membawa kebaikan jangan pula membawa keburukan.
"Yang penting jangan kita menjadi liabiliti kepada parti dalam urusan kita memenangkan kerajaan sedia ada," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, PWTC di sini hari ini.
Beliau berkata, konsep kesederhanaan yang dipraktikkan BN yang ditunjangi UMNO dalam memimpin negara adalah resepi kejayaan dalam mentadbir dan membawa kemakmuran berterusan kepada negara.
Konsep itu diterjemah dalam ideologi, dasar serta amalannya yang berpaksi kepada toleransi, muafakat dan konsep musyawarah, dengan mengambil kira pandangan semua pihak, katanya.
Beliau berkata, keadaan ini amat berbeza dangan amalan parti pembangkang yang menampakkan perbezaan ketara dalam ideologi masing-masing, dengan PAS lebih bersifat ekstremis, PKR yang terlalu liberal, dan DAP dengan kesamarataan mengikut acuan sendiri.
Samsol Bari berkata, ekstremis agama yang membawa perpecahan dan liberalisme melampau akan membawa porak peranda kepada negara.
"Realitinya hanya kerajaan BN yang menjamin kehidupan selesa pelbagai kaum dalam satu kerangka kesederhanaan yang menjamin kemakmuran dan sejahteraan. Inilah yang akan kita pertahankan," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment