Kerajaan diminta dekati mahasiswa di luar negara
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 November, 2012:Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara hari ini meminta kerajaan mendekati mahasiswa Malaysia di luar negara dengan lebih kerap bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan dakyah dan propaganda pembangkang.
Ditemui Bernama selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO ke-63 di sini, mereka mengakui terdapat banyak usaha memburukkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dilakukan pembangkang di luar negara.
Pengerusi Kelab UMNO Mansurah Mesir, Ahmad Affandi Azman, 21, berkata usaha tersebut termasuk cara kotor seperti menyebar risalah dan poster yang diolah menggunakan teknik tampalan foto (photoshop) bagi memberi gambaran salah terhadap pemimpin negara.
"Antara cara yang digunakan untuk menangani dakyah itu ialah dengan mendapatkan informasi secara terus dari Malaysia seperti khutbah Jumaat masjid-masjid Malaysia yang disampaikan secara dalam talian sebelum disebarkan kepada rakan-rakan kami di sana," katanya yang telah empat tahun menetap di negara Timur Tengah itu.
Menurutnya, kelab itu bagaimanapun memerlukan kerjasama Kedutaan Malaysia di Mesir bagi menyalurkan maklumat tepat kepada mereka kerana akses Internet yang terhad.
Presiden Kelab UMNO Australia Barat A.Al-Haqq Mohammad Mubin pula berkata penggunaan media baharu harus diperkemas untuk memastikan maklumat sampai kepada sasaran.
"Harap pihak kerajaan dapat memperkasakan informasi melalui media siber agar kami dapat mengetahui cerita sebenar," katanya sambil menambah Internet adalah saluran asas untuk mendapatkan informasi mengenai situasi politik di Malaysia. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment