My Add

Thursday, 29 November 2012

Pemuda UMNO senarai 10 cadangan


*KHAIRY Jamaluddin, Razali Ibrahim dan barisan exco Pemuda pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. Turut serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Noh Omar (dua dari kiri).
KUALA LUMPUR, RABU, 28 November, 2012: Pergerakan Pemuda UMNO menyenaraikan 10 cadangan melibatkan kepentingan golongan belia untuk diangkat menjadi dasar dan program kerajaan agar Barisan Nasional (BN) terus menjadi pilihan orang muda.
Cadangan yang dibentangkan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin itu secara umumnya meliputi latihan siswazah, peluang kerjaya, insentif kepada usahawan, perumahan, bantuan asnaf, kebajikan dan transformasi politik.

Selain itu, cadangan yang dinyatakan Khairy ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO di sini hari ini turut menyentuh proses pelantikan ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan (GLC), isu muflis dan bantuan lesen motosikal.

Berikut adalah 10 cadangan tersebut:

* Kerajaan harus melipatgandakan usaha membantu siswazah dan orang muda untuk mendapatkan pekerjaan serta mengusulkan supaya agenda latihan kepada siswazah dipikul semua dan bukan tanggungjawab eksklusif kerajaan.

* Syarikat yang menjana pekerjaan untuk warga muda tempatan dicadangkan diberi pelepasan cukai atau geran agar mereka tidak dikekang masalah kewangan untuk beroperasi.

* Kerajaan disyorkan melaksanakan kempen 'Beli Barangan Malaysia' supaya usahawan tempatan dapat diberi keutamaan agar produk mereka mempunyai kedudukan kukuh di pasaran dalam negeri sebelum mampu berkembang ke pasaran luar.

* Kerajaan perlu memperluaskan usaha mencari asnaf di setiap peringkat agar bantuan zakat sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

* Mengembangkan lagi kelompok perdagangan dan perindustrian bumiputera terutama di kalangan usahawan serta profesional muda dan berharap kerajaan menjana peluang lebih luas kepada golongan muda bumiputera selain mengkaji semula amalan melantik pesara politik dan kerajaan untuk mengisi lembaga pengarah GLC.

* Pemuda menyarankan kepada kerajaan melihat semula kepada mereka yang bankrap dengan menjadikan prosedur pelepasan kebankrapan lebih mudah serta membantu golongan muda yang dalam kesempitan kewangan.

* Pemuda berpendapat unit rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tidak cukup kerana anggaran menunjukkan hampir 50 peratus daripada golongan berpendapatan sederhana masih belum memiliki rumah di Lembah Klang dan kedua, Pemuda juga meminta agar kuota khas disediakan buat keluarga muda dalam semua projek perumahan.

* Mencadangkan penstrukturan semula bantuan kebajikan kerana jumlah yang diberi perlu lebih logik untuk meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

* Menggesa agar Perdana Menteri tetap istiqamah dalam meneruskan program transformasi politik beliau. Selain isu ekonomi, transformasi politik amat penting bagi orang muda di mana jua kerana mereka dahagakan langkah untuk menjadikan Malaysia lebih terbuka dan demokratik.

* Meminta kerajaan menaja sebahagian daripada kos Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) yang diusahakan Pemuda UMNO dengan tawaran kursus lesen motosikal sebanyak RM199. Kami juga dalam proses berunding supaya mereka yang sudah diambil tindakan di mahkamah mendapat keampunan melalui BL1M. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment