My Add

Saturday 15 December 2012

4 lelaki warga asing ditahan, 2.7 kilogram syabu dirampas

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 14 Disember, 2012: Polis Kuala Lumpur menumpaskan dua kumpulan pengedaran dadah membabitkan empat warga asing serta merampas 2.7 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM282,000 dalam dua serbuan berasingan pada Ahad dan semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superintendan Adnan Azizon, berkata dalam serbuan pertama, Ahad lalu, polis menahan dua lelaki Pakistan dan merampas 1.7 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM170,000 di kawasan parkir sebuah pusat membeli-belah, di sini kira-kira jam 9 malam.

“Kedua-dua suspek berusia 27 dan 28 tahun itu memasuki negara pada 2008 dan bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai pakaian di sini,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.

Adnan berkata, dalam serbuan kedua pada jam 6 petang semalam, polis menahan dua pelajar lelaki warga Nigeria berusia 27 tahun dan merampas syabu seberat satu kilogram bernilai RM112,000 di sebuah hotel bajet di Cheras, di sini.

"Kedua-dua suspek adalah pelajar di sebuah institut bahasa dan siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada suspek hanya berdaftar sebagai pelajar bagi melindungi kegiatan mereka atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan sama ada dua kumpulan itu ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

“Semua mereka ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment