My Add

Wednesday 19 December 2012

90 peratus urusan perkhidmatan awam dalam talian menjelang 2015

PUTRAJAYA, SELASA, 18 Disember, 2012: Kerajaan melalui Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) menetapkan agar 90 peratus perkhidmatan yang diberikan penjawat awam dilaksanakan secara dalam talian menjelang 2015.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, langkah itu mampu mengurangkan campur tangan pegawai kerajaan dan seterusnya mengurangkan peluang berlaku rasuah serta salah guna kuasa.

Katanya, perkhidmatan dalam talian itu secara tidak langsung dapat memberi kemudahan kepada rakyat untuk berurusan dengan kerajaan.

"Sehubungan ini, setiap jabatan atau agensi hendaklah memastikan sasaran yang ditetapkan pada 2015 itu tercapai.

"Perkara ini dapat dilaksanakan dengan meneliti dan membangunkan sistem aplikasi online berkaitan bermula dari sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Inovasi Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Terdapat 25 agensi dan jabatan mengadakan kerjasama bagi menganjurkan program bertemakan Inovasi Pemacu Transformasi itu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment