My Add

Friday 21 December 2012

Anggota polis lari dari tugas ditahan ketika pecah masuk rumah

BESUT: Seorang anggota polis berumur 35 tahun yang lari dari tugas sejak Mac lalu ditangkap dan dibelasah penduduk kampung selepas dia memecah masuk sebuah rumah di Kampung Bukit Keluang di sini, awal pagi tadi.

Dia yang sebelum ini bertugas di Cawangan Tugas Am di Balai Polis Pasir Akar, Hulu Besut cedera parah dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu.

Anggota polis itu yang luka parah di tangan kiri dan lebam di belakang badan diberikan rawatan awal di Hospital Daerah Besut dan kemudiannya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan untuk
rawatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noor Zainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menurutnya anggota polis itu memecah masuk sebuah rumah di kampung itu melalui tingkap.

Katanya, ketika terserempak dengan seorang daripada ahli keluarga tuan
rumah berkenaan Maimunah Yaacob, 51, suspek memberi alasan mencari makanan kerana lapar. 

"Ketika suspek masih berada dalam rumah, seorang ahli keluarga mangsa sempat memanggil penduduk kampung yang kemudiannya datang dan membelasah serta
menangkap suspek", katanya.

Noor Zainy berkata, tuan rumah itu kemudiannya memaklumkan kepada pihak polis yang kemudiannya menangkap dan membawa suspek mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Besut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tuan rumah mengenali suspek kerana dia pernah beberapa kali datang ke rumahnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment