My Add

Friday 21 December 2012

Ketua Polis Selangor kecewa tuduhan biarkan kegiatan judi berleluasa

SHAH ALAM, JUMAAT, 21 Disember, 2012: Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah hari ini meluahkan rasa kecewa apabila pasukan itu digambarkan gagal mengekang kewujudan premis perjudian tidak berlesen di negeri tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata, usaha polis yang melakukan serbuan demi serbuan
sepanjang tahun ini tidak mendapat kerjasama pihak berkenaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak melaksanakan penyitaan terhadap premis yang diserbu.

"Polis menyerahkan 188 permohonan sita kepada PBT yang berkenaan, namun tiada satu pun dilaksanakan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Tun Hisan, pihaknya juga sukar mendapat mendapat kerjasama untuk
memutuskan bekalan elektrik dan air ke premis terbabit, menyebabkan premis yang
baru diserbu kembali beroperasi dalam tempoh singkat. 

Beliau mengulas laporan muka depan dan laporan susulan sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini bahawa kegiatan perjudian semakin berkembang di beberapa kawasan di Lembah Klang termasuk Petaling Jaya, Klang, Sungai Buloh, Selayang, Batu Caves, Rawang, Gombak dan Kepong.

Akhbar sama turut melaporkan kenyataan Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie
Liu, bahawa "tidak banyak" yang boleh dilakukan oleh PBT terhadap kegiatan
perjudian haram di negeri itu dan meminta pihak polis serta pihak berkuasa lain
memainkan peranan agresif untuk bersama-sama menangani kegiatan itu.

Jelas kecewa dengan tuduhan itu, Tun Hisan berkata, setakat November tahun
ini, polis Selangor merampas 26,655 mesin judi daripada 7,809 serbuan dengan
2,054 tangkapan.

"Ini bermakna sehari kita buat 23 kali serbuan iaitu sebanyak 23 premis
mesin perjudian diserbu setiap hari.

"Nampaknya ada pihak tertentu mempunyai niat berlainan dan memaparkan seolah-olah polis Selangor tidak ambil tindakan (terhadap permis perjudian)
sungguh pun hakikat adalah sebaliknya," katanya dalam nada yang agak keras.

Beliau berkata, selagi pihak berkaitan tidak memberi kerjasama sewajarnya, usaha
pihak polis untuk membanteras premis perjudian tanpa lesen di Selangor tidak
akan berjaya.

"Dalam menangani gejala sosial ini semua pihak kena main peranan, kalau setakat pihak polis sahaja yang melakukan serbuan, rampasan dan tangkapan, ini tidak akan selesaikan masalah ini kerana 'the next day' mereka akan datang hantar lagi (mesin perjudian). Kita (polis) nak fokus pada banyak perkara untuk menjaga keamanan," katanya.

"Kita sudah kenal pasti sebanyak 1,577 premis (mesin perjudian tanpa lesen)
jika semua dapat ditutup bekalannya saya yakin tidak ada perjudian atau maksiat
di Selangor," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kedegilan sesetengah pemilik bangunan atau premis
yang mementingkan keuntungan kewangan dengan membenarkan aktiviti haram
dijalankan di premis mereka turut menyumbang kepada peningkatan kegiatan itu.

Tun Hisan berkata, setakat ini, sebanyak 69 peratus kes membabitkan mesin perjudian tanpa lesen sudah dibawa ke mahkamah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment