My Add

Wednesday 5 December 2012

ATM hantar perubatan ke Afghanistan

KUALA LUMPUR, SELASA, 04 Disember, 2012: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merancang menghantar kemudahan perubatan tahap dua atau setaraf kemudahan di hospital daerah melalui Kontinjen Malaysia bagi misi Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (Malcon ISAF) ke Afghanistan ekoran permintaan tinggi masyarakat negara itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana pasukan Malaysia merupakan satu-satunya yang menyediakan doktor dan pembantu perubatan wanita serta amat disenangi oleh masyarakat tempatan yang tidak selesa jika menerima rawatan daripada pegawai berlainan jantina.

Bagaimanapun katanya, keputusan mengenai penghantaran kemudahan itu akan diputuskan Jemaah Menteri dalam satu mesyuarat tidak lama lagi kerana buat masa ini kerajaan menanggung segala perbelanjaan misi Malcon ISAF yang beroperasi sejak 2010.

"Saya telah berbincang dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Leon Panetta dan akan usahakan sama ada dengan AS atau negara lain dalam hal ini.

"Saya dapat tahu sebuah negara di Asia Barat berminat bekerjasama dengan kita. Saya sedang tunggu usaha lanjut kerana setakat ini kerajaan Malaysia tanggung seluruh kos," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pendekatan ATM yang menggunakan khidmat pegawai dan anggota wanita dalam misi di Bamiyan, Afghanistan mendapat perhatian pasukan pengaman lain dan mereka juga bercadang mengambil pendekatan sama.


Dalam perkembangan sama katanya, ATM juga berjaya melaksanakan program Jiwa Murni di Afghanistan dalam mendampingi masyarakat setempat dengan melaksanakan projek menggali dan membekalkan air serta khidmat membantu kelahiran bayi.

"Ramai ibu mengandung ditempatkan di kem perubatan ATM kira-kira seminggu sebelum tarikh bersalin kerana kebanyakan kes ibu atau bayi akan maut jika terlalu lambat mendapatkan rawatan. Ini telah dapat kita elakkan dan pasukan lain juga ikut kaedah itu," katanya.

ATM mula menghantar pasukan ke Afghanistan di bawah panji-panji Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke Bamiyan sejak 2010 dan dijangka berakhir pada 2014, namun kerajaan Afghanistan meminta agar ATM melanjutkan khidmat di sana.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyempurnakan pemakaian pangkat baharu kepada tujuh perenang ATM yang berjaya merentasi Selat Inggeris September lalu di bawah Ekspedisi Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RSPI 1Malaysia).

Oktober lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan satu pangkat serta pemberian insentif kepada para perenang terbabit kerana berjaya mengharumkan nama negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment