My Add

Tuesday 18 December 2012

AUG 2012: Memanah sumbang tiga lagi pingat emas

VIENTIANE, SELASA, 18 Disember, 2012: Berbekalkan pengalaman dan keserasian, trio memanah negara melakar kejayaan meraih pingat emas bagi acara recurve berpasukan lelaki pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2012 yang berlangsung di lapangan memanah Kompleks Sukan Nasional di sini.

Wan Mohamad Khalmizan Wan Abdul Aziz, Liew Teck Hwa dan Nazrin Aizad Mat Nasir mengalahkan pencabar mereka dari Indonesia diwakili Riau Ega Agata Salsabila, Sulistyawan Rahmat dan Alek Edwar yang meraih perak, dengan jumlah mata panahan 17-16.

Pingat gangsa milik pasukan Singapura yang menewaskan pasukan tuan rumah, Laos, 14-5.

Selain acara berpasukan recurve lelaki, skuad memanah turut menyumbang dua lagi emas dalam acara berpasukan compound wanita dan berpasukan compound lelaki.

Trio berpasukan compound wanita menerusi gandingan Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Norhayati Al Madihah Hashim dan Saritha Cham Nong menundukkan pasukan Laos, 14-6.

Pada saingan itu hanya dua negara sahaja yang mengambil bahagian.

Sementara itu, pasukan compound lelaki meraih emas menerusi trio Mohd Kaharuddin Ashah, Mohd Firdaus Isa dan Kurniadi Mukhtar yang mengalahkan pasukan tuan rumah diwakili Thanonglith Siriphonh, Khamvare Vanlivong dan Daliya Saidara, 15-10.

Pada saingan itu juga hanya dua negara sahaja yang mengambil bahagian.

Selain tiga emas, skuad memanah turut menyumbang perak dalam acara berpasukan recurve wanita menerusi Ezryn Meza Mohamed Hamzah, Siti Sholeha Mohd Yusof dan Shahira Abdul Halim. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment