My Add

Sunday 16 December 2012

Ekonomi kukuh anjak kerajaan laksana pembangunan, salur bantuan kepada rakyat

SANDAKAN, AHAD, 16 Disember, 2012: Pertumbuhan ekonomi negara yang baik membolehkan kerajaan mampu melaksanakan program pembangunan dan menyalurkan bantuan kepada rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, sebab itu menjadi keutamaan kepada kerajaan Barisan
Nasional (BN) untuk membuat yang terbaik dalam menguruskan negara terutama berkaitan pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, pada masa kini, BN dapat menguruskan negara dengan baik ketika negara lain berhadapan dengan masalah.

"Kita (BN) mengurus negara dengan baik dalam keadaan negara di Eropah dibebani hutang, Amerika Syarikat berhadapan dengan masalah pertembungan politiknya dan negara di Timur Tengah menghadapi pergolakan.

"Sebaliknya Malaysia mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang mendapat pujian
daripada masyarakat antarabangsa," katanya pada Majlis Bersama Rakyat Parlimen
Batu Sapi dan upacara pecah tanah tapak Masjid Kampung Lupak Meluas dekat sini hari ini.

Apabila siap kelak, masjid yang dibina dengan kos RM5 juta itu akan menjadi masjid terbesar di Batu Sapi dan terletak bersebelah dengan kawasan Projek Perumahan Rakyat sebanyak 180 unit yang kini dalam pembinaan.

Najib berkata, kadar pertumbuhan ekonomi negara turut mendapat pujian daripada Pengerusi Lembaga Eksekutif Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde yang beliau temui baru-baru ini.

"Kita telah mencapai pertumbuhan ekonomi begitu baik dan bila hasil negara
bertambah, ekonomi bertambah dan kita agihkan kekayaan itu kepada rakyat.

"Itu prinsip saya pegang dalam aspek keadilan sosial. Konsep 1Malaysia diperkenalkan bukan satu slogan semata-mata tetapi ada prinsip dan kerangkumannya," katanya.

Najib berkata, kerajaan mampu melaksanakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
adalah hasil ekonomi negara yang kukuh dan diteruskan untuk BR1M 2.0 pada tahun
depan.

Berbeza dengan pihak pembangkang, Perdana Menteri berkata mereka membuat
rusuhan dan demontrasi jalanan melalui perhimpunan Bersih 1.0 dan 2.0 hingga
menyerang anggota pasukan keselamatan dan merosakkan kenderaan polis.

Katanya, tidak cukup dengan itu, pemimpin parti pembangkang sanggup meminta
pertolongan daripada Australia untuk campur tangan dalam urusan pilihan raya
negara.

"Nasib baik, orang (pemimpin) Australia itu tahu bahawa demokrasi dalam
negara kita adalah hak yang ditentukan oleh rakyat Malaysia sendiri. Mereka
tidak berhasrat campur tangan sebab mereka tahu dalam pilihan raya (umum) di
Malaysia sebelum ini, kita (BN) menang dengan cara baik dan bersih," tegas
Perdana Menteri.

Beliau menyelar tindakan pemimpin parti pembangkang itu yang "menconteng
arang di muka (Malaysia)" di luar negara untuk memburukkan nama negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment