My Add

Monday 24 December 2012

Mangsa banjir di Kelantan bertambah
 KOTA BHARU, ISNIN, 24 Disember, 2012: Banjir di Kelantan semakin buruk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 102 orang di sebelah petang berbanding hanya 18 orang di sebelah pagi.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jumlah itu membabitkan 24 keluarga di empat jajahan iaitu Kota Baharu, Machang dan Pasir Mas selain Pasir Puteh yang mangsa berpindah sejak tengah malam tadi.

Di Kota Bharu, seramai 31 orang dipindahkan iaitu 27 orang di Sekolah Kebangsaan Tiong dan empat orang di Pejabat Penggawa Peringat.

Di Machang, empat orang ditempatkan di Madrasah Sungai Mas manakala di Pasir Mas, seramai 49 dipindahkan, 23 daripadanya ditempatkan di Madrasah Haji Daud, Kangkong dan 26 orang lagi di Sekolah Kebangsaan Baroh Pial.

Di Pasir Puteh, jumlah mangsa kekal 18 orang yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang malam tadi.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan, Roslee Mamat berkata, Sungai Golok di Jenob kini melepasi paras bahaya iaitu 24.64 meter (paras bahaya 23.50 meter) dan di Rantau Panjang, air kini pada tahap 9.25 meter (paras bahaya 9 meter), manakala sungai utama lain berada di paras amaran.

Beliau berkata, keadaan tengkujuh di Kelantan kini di peringkat jingga dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga lusa. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment