My Add

Wednesday 5 December 2012

PBB gesa nuklear Israel diperiksa

NEW YORK, SELASA, 04 Disember, 2012: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) semalam meluluskan resolusi menggesa Israel membenarkan program nuklearnya diperiksa.

Resolusi yang diluluskan dengan 174 undian itu, menggesa Israel menyertai Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) 'secepat mungkin' dan membuka kemudahan nuklearnya untuk diperiksa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Israel, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Marshal Islands, Micronesia dan Palau menentang resolusi tersebut, sementara enam lagi negara bertindak berkecuali.

Resolusi yang diluluskan UNGA yang dianggotai 193 negara tidak mempunyai kesan dari segi undang-undang, tetapi menggambarkan pandangan dunia dan memberi tekanan daripada segi moral dan politik.

Israel enggan mengesahkan atau menolak dakwaan memiliki senjata nuklear walaupun dipercayai rejim Zionis itu mempunyai senjata pemusnah tersebut.

Selain tiga negara iaitu India, Pakistan dan Korea Utara yang enggan menyertai NPT, Israel juga mengambil tindakan sama.

Kerajaan Israel enggan mengulas mengenai keputusan UNGA tersebut.

UNGA semalam turut menyatakan sokongannya terhadap satu persidangan peringkat tinggi untuk mengharamkan senjata nuklear dari Asia Barat yang telah dibatalkan.

Kesemua negara Arab dan Iran sepatutnya menghadiri persidangan tersebut pada pertengahan bulan ini di Helsinki, Finland, namun AS pada 23 November lalu mengumumkan pertemuan itu dibatalkan atas alasan pergolakan di rantau Arab.

Negara-negara Arab sebelum ini pernah mencadangkan pembentukan zon bebas senjata pemusnah dan memberikan tekanan terhadap Israel untuk memusnahkan kira-kira 80 senjata nuklearnya yang disokong dalam satu persidangan NPT pada 1995, namun tiada tindakan diambil. - Agensi

No comments:

Post a Comment