My Add

Tuesday 18 December 2012

Pemuda UMNO bela individu muflis

Oleh IKHWAN HAZWAN HAMIDUN

 
 *SOHAIMI memegang iPad menunjukkan laman web Kempen Muflis Anda Masih Ada Peluang Kedua bersama wakil-wakil NGO selepas melancarkannya di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR, ISNIN, 17 Disember, 2012: Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda UMNO semalam melancarkan jaringan laman sosial Facebook, Twitter dan blog kempen Muflis Anda Masih Ada Peluang Kedua bagi mendapatkan maklum balas dan menjadi platform membela individu yang muflis.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, melalui jaringan tersebut, orang ramai boleh menyalurkan idea dan pandangan mengenai isu berkenaan untuk dikumpul seterusnya dibawa ke Jabatan Insolvensi Malaysia serta para pegawai yang akan membuat kajian semula Akta Bankrap 1967.

Katanya, Pemuda UMNO mengambil langkah tersebut memandangkan ramai golongan muda yang muflis enggan tampil bagi mencari penyelesaian dan akhirnya menyusahkan diri sendiri.

“Kita tidak salahkan mereka kerana mungkin mereka yang muflis malu untuk memberi maklumat secara berhadapan, jadi kita wujudkan medium secara maya ini sebagai medan untuk mereka meluahkan segala masalah dan pendapat mereka.

“Kemudian kita akan mengumpul dan menapis segala input dan maklumat yang diterima untuk diserahkan kepada pihak yang bertanggungjawab agar pindaan akta ini kelak turut mengambil kira pendapat mereka yang muflis,” katanya selepas majlis pelancaran kempen berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Pada majlis itu, pelakon terkenal, Fizo Omar dilantik sebagai ikon kempen berkenaan.

Sebelum ini, kajian semula Akta Bankrap diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini dalam usaha kerajaan membantu rakyat yang muflis akibat beban hutang.

Usul mengenai Akta Bankrap itu dibawa Pemuda UMNO pada perhimpunan itu.

Mengulas lanjut, Sohaimi memberitahu, satu forum mengenai isu muflis juga akan diadakan penghujung Januari tahun hadapan.

Jelasnya, forum tersebut akan memfokuskan isu mereka yang muflis disebabkan teraniaya, ditipu dan mereka yang menjadi mangsa keadaan seperti menjadi penjamin. - KOSMO

No comments:

Post a Comment