My Add

Tuesday 4 December 2012

Perdana Menteri puas hati dengan sambutan WIEF

JOHOR BAHRU, SELASA, 04 Disember, 2012: Datuk Seri Najib Razak hari ini melahirkan rasa puas hati terhadap sambutan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) kelapan di sini, yang mencatatkan jumlah kehadiran delegasi terbesar berbanding sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, forum pertama diadakan di luar Kuala Lumpur itu bukan sahaja menumpukan aspek ekonomi sesama dunia Islam malah hubungan dengan negara lain.

"Saya sudah berjumpa dengan pemimpin yang hadir dan kesemua mereka mengatakan forum ini sangat berguna dengan kepelbagaian yang luar biasa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan penyertaan lebih 80 negara, segala kemungkinan prospek perniagaan juga boleh dicetuskan menerusi forum seumpama itu.

WIEF yang berlangsung mulai hari ini hingga Khamis di Pusat Konvensyen Persada Johor itu dihoskan bersama oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri Johor.

Acara tahunan yang bertemakan 'Menukar Trend, Peluang Baru' itu dihadiri lebih 2,100 delegasi dan menampilkan 120 penceramah antarabangsa.

Antara pemimpin yang hadir hari ini termasuk Presiden Comoros Ikililou Dhonine, Timbalan Perdana Menteri Singapura Tharman Shanmugaratnam dan Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Al Haj Murad Ebrahim. 

Forum berkenaan turut merangkumi 'Marketplace of Creative Arts' kelima dengan 31 artis dan penghibur dari 17 negara mempamerkan kerja mereka dalam bidang muzik, tarian, filem, kaligrafi, lukisan dan pengendalian bengkel berkaitan seni. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment