My Add

Friday 7 December 2012

Program Tanpa Pembantu Rumah

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 06 Disember, 2012: Kementerian Sumber Manusia akan mengumumkan Program Tanpa Pembantu Rumah, pendekatan yang dibuat untuk membantu golongan wanita yang bekerja dan berkeluarga menangani masalah ketiadaan pembantu rumah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, langkah itu merupakan satu bentuk sokongan berikutan kemasukan pembantu rumah Indonesia agak perlahan meskipun pembekuan telah ditarik balik.

Menurut beliau, setakat ini hanya 95 orang pembantu rumah Indonesia yang dibawa masuk dan jumlah itu tidak dapat menampung keperluan yang tinggi di Malaysia.

"Kita sedar kemasukan agak perlahan dan perkara ini diburukkan lagi apabila agensi-agensi pembantu rumah swasta enggan menguruskan kemasukan dengan alasan kos yang murah menyebabkan mereka tidak untung.

"Sehubungan itu, kementerian cuba membantu dengan menggalakkan pihak majikan menyediakan taska di tempat-tempat kerja dan satu lagi melaksanakan Program Tanpa Pembantu Rumah," katanya dalam sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator V. Subramaniam yang bertanya mengenai status perjanjian kemasukan pembantu rumah Indonesia.

Jelas Maznah, antara pendekatan dalam Program Tanpa Pembantu Rumah itu adalah memperkenalkan perkhidmatan dobi komuniti dan pembantu rumah yang berulang-alik setiap hari.

"Perkara ini masih dalam kajian dan Menteri Sumber Manusia akan mengumumkan tidak lama lagi," ujarnya.

Menjawab soalan tambahan, Maznah berkata, kerajaan sedang giat berunding untuk mendapatkan sumber-sumber tenaga kerja pembantu rumah dari Timor Leste dan Mindanao.

"Pencarian daripada negara lain perlu dilakukan dan kita masih lagi berunding dengan Filipina," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment