My Add

Friday 21 December 2012

Siasatan kes kematian pembantu Manikavasagam hampir selesai

SHAH ALAM, JUMAAT, 21 Disember, 2012: Polis tidak perlu menubuhkan badan khas untuk menyiasat kes kematian pembantu peribadi ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, yang mayatnya ditemui dalam keadaan berlumuran darah di depan pondok pengawal keselamatan Pangsapuri Seri Sinar, Sunway Kayangan di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata ia kerana kes itu
adalah jelas dan pihaknya hampir selesai menjalankan siasatan. "Kita akan rujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (berkaitan tindakan selanjutnya) dalam masa terdekat," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas memorandum Manikavasagam mendesak polis Selangor menubuhkan badan siasatan khas dalam kes kematian K S Natchymuthu.

Manikavasagam bersama dua anak Nathymuthu menyerahkan memorandum itu kepada Pegawai Turus D1 (Pentadbiran) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Nik Mohd Shukri Nik Hassan di depan IPK Selangor, hari ini. 

Memorandum Manikavasagam meminta badan khas itu ditubuhkan dalam tempoh seminggu bagi menyiasat lapan laporan polis yang dibuat mangsa berhubung ugutan
suspek sebelum kematiannya.

Tun Hisan turut mengesahkan mangsa pernah membuat 10 laporan polis termasuk
satu berkaitan ugutan jenayah yang diterimanya.

"Sembilan lagi laporan polis adalah mengenai mangsa menidakkan tohmahan
berikutan dia mempunyai 22 laporan polis yang dibuat terhadapnya membabitkan
pelbagai kesalahan, tetapi saya yakin kes ini tiada kaitan dengan politik,"
katanya.

Natchymuthu, 53, ditemui mati pada kira-kira 8.15 pagi oleh penduduk pangsapuri itu, dipercayai akibat dipukul objek tajam selepas terbabit dalam pergaduhan dengan seorang lelaki, yang juga penduduk di situ.

Seorang lelaki berumur 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment