My Add

Thursday 13 December 2012

Sindiket judi punca utama

KUALA LUMPUR, RABU, 12 Disember,2012: Jurang pendapatan antara pemain bola sepak bukan faktor utama berlakunya gejala rasuah dalam sukan tersebut di negara ini, sebaliknya sindiket perjudian merupakan penyumbang utama kegiatan tidak bermoral itu.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, pihaknya tidak menafikan jurang pendapatan dalam kalangan pemain bola sepak tempatan turut mendorong berlakunya gejala rasuah.

"Saya bersetuju dan tidak menafikan jurang pendapatan antara pemain dalam liga bola sepak tempatan menyumbang kepada gejala rasuah, tetapi perbezaan itu tidak seberapa sekiranya dibandingkan dengan peranan sindiket perjudian yang mengatur perjudian bola sepak.

"Sindiket-sindiket perjudian ini akan mendekati bukan sahaja pemain bola sepak, tetapi pegawai, jurulatih termasuklah pengadil untuk menentukan keputusan perlawanan," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohammed Najeeb Abdullah berkenaan gejala rasuah bola sepak yang masih berlaku di Malaysia walaupun langkah-langkah tegas telah diperkenalkan.

Mengulas lanjut, Razali memberitahu, rasuah atau mengatur perlawanan bola sepak bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi merupakan isu global yang turut berlaku di Itali, Turki, Greece, Korea Selatan, China, Indonesia dan banyak negara lain.

Katanya, masalah itu sukar dikesan dan dihapuskan dengan segera memandangkan wujudnya perjudian bola sepak yang diuruskan sindiket perjudian antarabangsa di seluruh dunia.

"Kita telah mengambil beberapa langkah dan daripada aspek penguatkuasaan pula, satu jawatankuasa telah dibentuk yang dianggotai wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

"Jawatankuasa ini akan bermesyuarat pada Isnin setiap minggu bagi meneliti aduan-aduan diterima selain memantau keseluruhan perlawanan bola sepak terutamanya yang meragukan," jelasnya.

Menjawab soalan tambahan Mohammed Najeeb berhubung tindakan pemain meminta gaji tinggi berikutan kos penghijrahan yang semakin meningkat, Razali memberitahu, perkara itu memberi keuntungan kepada liga bola sepak tempatan terutamanya daripada aspek kecemerlangan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment