My Add

Wednesday 23 January 2013

Ibu cerita detik-detik cemas anak dilarikan penjenayah


 *ZAILANI Mohd. Shah sambil diperhatikan oleh isterinya, Sarina Husin memeluk Mohd. Darwish Aniq yang berjaya ditemui semula oleh polis selepas kenderaan pacuan empat rodanya dilarikan penjenayah di sebuah stesen minyak di Kampung Bukit Kuan, Kemaman hari ini. - UTUSAN/SAPEE MAT JUNUS

KEMAMAN, RABU, 23 Januari, 2013: Penantian selama 30 minit anak dilarikan penjenayah bersama kenderaan pacuan empat roda milik seorang peniaga dirasakan ibarat igauan ngeri dan sangat lama buat ibu kepada budak berusia tiga tahun itu.

Sarina Husin, 37, dan suaminya Zailani Mohd. Shah, 43 nyata resah memikirkan nasib anaknya, Mohd. Darwish Aniq, yang berada di dalam kereta terbabit. Namun keresahan itu tidak berpanjangan setelah berjaya menemui kembali anaknya serta kenderaan mereka dengan bantuan pihak polis selepas mengejar kenderaan terbabit kira-kira 50 kilometer.

Menceritakan kembali, Sarina berkata, sebelum kejadian, mereka tiga beranak dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Baru Kerteh untuk membeli peralatan dapur di Bandar Kemaman sebelum singgah memberhentikan kenderaan pacuan empat roda milik mereka itu di stesen minyak Petronas di Kampung Bukit Kuang, di sini.

Katanya, mereka tiga beranak berhenti di stesen minyak terbabit untuk ke tandas sebelum meninggalkan anaknya itu bersendirian yang tidur di kusyen belakang kenderaan, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

“Saya ke tandas terlebih dahulu dan belum sempat saya keluar, saya tidak menyangka suami pula masuk ke tandas dan meninggalkan anak kami sendirian di dalam kereta.

“Sebaik saya menghampiri di tepi kenderaan, secara tiba-tiba kenderaan bergerak," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat polis Daerah Kemaman, di sini hari ini.

Menurutnya, dia mengejar keretanya sambil mengetuk tingkap kerana menyangka suaminya itu berada di dalam kenderaan terbabit namun pemandu berkenaan tidak menghiraukan.

Beliau berkata, dia bergegas ke tandas dan memanggil suami sebelum memaklumkan kenderaan mereka dilarikan suspek.

Situasi cemas itu disedari seorang pemuda Saufi Sukardi, 21, yang secara kebetulan berhenti di situ untuk mengisi minyak dan mendengar jeritan isteri mangsa sebelum mengajak kedua-dua mangsa mengejar kenderaan yang dilarikan suspek itu.

“Saya dan suami menumpang kereta pemuda itu mengejar sehingga ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik dan dalam perjalanan itu kami sempat menghubungi talian 999 bagi meminta bantuan," katanya.

Menurutnya, beberapa minit selepas itu sepasukan anggota polis yang menaiki sebuah kenderaan memintas kenderaan dinaikinya dalam usaha mengejarkan kenderaan yang dilarikan penjenayah terbabit.

“Kami dan polis mengejar kereta suspek sejauh kira-kira 50 kilometer dan saya akhirnya menerima panggilan daripada polis yang memaklumkan kereta kami dijumpai dan suspek yang melarikan kenderaan kami turut berjaya ditahan di Jalan Santong Paka, Dungun kira-kira jam 11.30 pagi tadi," katanya.

Katanya, dia hanya mampu berdoa dan syukur selepas mendapati anak bongsu daripada empat beradik itu selamat dan tidak diapa-apakan penjenayah terbabit.

“Saya berterima kasih kepada polis yang benar-benar cekap termasuk pemuda berasal dari Kuala Terengganu yang sanggup membantu menyelamatkan anak saya serta berjaya menahan penjenayah terbabit," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment