My Add

Thursday 17 January 2013

Kejayaan di Sabah, Sarawak jadi penentu BN pada PRU-13

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 17 Januari,  2013: Kemampuan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan ke atas kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak dijangka menjadi penentu kejayaan gagasan itu di peringkat persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Bekas Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Seri Azman Ujang, berkata sokongan pengundi di Sabah dan Sarawak terhadap kepemimpinan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dianggap masih kuat.

“Ramalan yang dibuat hari ini menunjukkan BN masih dapat mengekalkan kuasa di peringkat persekutuan walaupun dengan majoriti yang tidak begitu banyak,” katanya ketika ditemui selepas Wacana Pra PRU-13, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azman berkata, BN masih belum selesa dan mereka perlu berkerja lebih kuat untuk memantapkan kedudukan terutama di kawasan campuran yang dimenangi parti itu pada 2008 dengan majoriti kurang 1,000 undi.

Beliau berkata, kejayaan pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu membuktikan bahawa mereka sudah dapat membina kekuatan sendiri dan menambah penguasaan di empat negeri iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

“Ini adalah satu cabaran sengit yang perlu dihadapi BN ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, berkata isu utama yang perlu diselesaikan BN adalah perpaduan dalaman parti itu sendiri. 

“Mereka meminimumkan budaya sabotaj dalam parti dan memperkenalkan calon yang mempunyai populariti tinggi sama ada di dalam dan di luar parti,” katanya. - BH

No comments:

Post a Comment