My Add

Friday 4 January 2013

Krisis air: Selangor dikhuatiri jadi negeri mundur

SHAH ALAM, KHAMIS, 03 Januari, 2013: Selangor dikhuatiri akan menjadi sebuah negeri mundur ekoran tiada pihak yang berani melabur dalam jangka masa panjang akibat krisis air yang semakin kritikal.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, kerajaan negeri hanya memandang enteng krisis air dan menganggap ia bukan perkara serius sehingga boleh memudaratkan ekonomi negeri.

Beliau berkata, sepatutnya kerajaan negeri mengambil kira kesan jangka panjang daripada setiap perancangan yang dilakukan seperti mana tindakan Kerajaan Persekutuan.

"Jika dibandingkan, jauh beza dengan kerajaan BN yang lebih fokus untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020, sebagainya contohnya ialah Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang dirancang sejak 16 tahun lalu dengan beberapa syrikat terkemuka Jepun.

"Ini membuktikan Kerajaan Persekutuan amat prihatin dengan setiap keperluan dan kehendak semasa, ia perlu dirangka sebaiknya demi masa depan negara dan rakyat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Noh mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melakukan lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Alam Megah 2, Seksyen 27 dekat sini bagi meninjau sesi persekolahan 2013.

Muhyiddin yang juga merupakan Menteri Pelajaran meluangkan masa hampir sejam untuk meninjau suasana di dalam kelas dan bermesra dengan murid dari peringkat pra sekolah hingga tahun enam sekolah berkenaan.

Menurut Noh, keengganan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor bekerjasama dengan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Langat 2 juga mengakibatkan banyak kilang di negeri ini gagal beroperasi menjelang 2014 sekaligus menutup hampir 12,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

"Jika mereka terus berdegil dalam isu ini, kita khuatir masalah bekalan air akan menjadi lebih serius untuk jangka masa panjang sekaligus menyusahkan rakyat.

"Justeru itu saya berharap rakyat Selangor dapat menilai kedudukan sebenar kerajaan negeri ketika ini yang dilihat hanya banyak menimbulkan perkara-perkara yang mendatangkan musibah kepada rakyat," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai persiapan BN Selangor bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Noh memberitahu jentera BN negeri sudah bersedia 100 peratus seolah-olah PRU-13 akan diadakan esok.

"Segala program untuk berdepan PRU13 sudah pun dirangka dan saya menaruh keyakinan tinggi bahawa BN mampu memenangi lebih 30 kerusi untuk memastikan Selangor kembali ke tangan kita," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment