My Add

Sunday 27 January 2013

Masyarakat Cina di luar bandar dijamin turut nikmati pembangunan

JULAU, AHAD, 27 Januari, 2013: Ahli Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang memberi jaminan kepada masyarakat Cina di kawasan luar bandar Sarawak bahawa mereka tidak akan disisih daripada program dan rancangan pembangunan kerajaan.

Beliau berkata, program pembangunan luar bandar yang sedang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merangkumi semua kaum.

"Tiada masyarakat yang akan disisih. Malah, masyarakat Cina, yang kebanyakannya merupakan pekedai dan terlibat dengan pelbagai bentuk perniagaan lain, akan mendapat lebih banyak manfaat daripadanya.

"Ini kerana, program transformasi, apabila dilaksanakan sepenuhnya kelak, akan menambah aliran tunai di pasaran, yang sememangnya amat baik bagi perniagaan," katanya pada majlis bersama rakyat di bandar ini, malam tadi.

Salang, yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan berkata, oleh itu adalah penting bagi masyarakat Cina terus memberi sokongan padu kepada kerajaan BN.

Kata beliau, masyarakat Cina juga perlu memainkan peranan penting untuk memelihara kestabilan politik sedia ada bagi meningkatkan kestabilan ekonomi dan kemakmuran dengan memberi kerjasama dan menjalin hubungan rapat dengan masyarakat lebih besar seperti Iban.

Terdahulu, dalam ucapannya, pemimpin masyarakat Cina Julau Penghulu Kong Thien Hua mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana memberi peruntukan RM250,000 kepada SJK Yuk Kung seperti yang beliau umumkan ketika melakukan lawatan 'Gawai Dayak' ke sini pada Jun tahun lalu. 

Sementara itu, ketika merasmikan Gereja St Joseph berharga RM38,000 di Ulu Kota di Pakan, Salang menyeru penganut Kristian tempatan supaya menjalani kehidupan secara sederhana untuk menjadi teladan kepada masyarakat lain.

"Anda perlu sentiasa mematuhi ajaran agama anda iaitu berbuat baik kepada semua tetangga dan tidak mudah melatah terhadap provokasi atau pembohongan yang dilemparkan terhadap anda," katanya.

Gereja kecil berkenaan, yang dibina secara gotong-royong dengan geran kerajaan, adalah untuk kegunaan kira-kira 100 penganut Kristian dari lima rumah panjang masyarakat Iban di kawasan berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment