My Add

Sunday 27 January 2013

Polis buru dua anggota sindiket curi kenderaan

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR

IPOH, AHAD, 27 Januari, 2013: Polis sedang memburu dua penjenayah yang terlibat dalam sindiket mencuri kenderaan mewah di sekitar Lembah Klang dan Selangor selepas menahan seorang rakan mereka di Sitiawan awal pagi semalam.

Suspek berusia 26 tahun ditahan di sebuah stesen minyak ketika menaiki sebuah kereta jenis BMW 323i berwarna kelabu kerana disyaki terlibat dalam 12 kes jenayah termasuk dadah.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan, sebaik sahaja polis menahan lelaki itu dua rakannya masing-masing memandu sebuah kereta jenis BMW berwarna biru dan Honda CRZ berwarna merah, memecut menghala ke Pantai Remis.

Katanya, dua suspek itu melarikan diri setelah kenderaan BMW biru itu terbabas melanggar sebuah rumah di persimpangan Kuari Tin, Sungai Batu sementara kereta Honda CRZ pula ditinggalkan di kawasan perumahan di Jalan Gereja, Pantai Remis.

“Semakan polis terhadap tiga kereta tersebut mendapati nombor pendaftaran kenderaan berkenaan adalah palsu dan ketiga-tiganya dilaporkan hilang di Kota Damansara, Kelana Jaya dan Kepong, Kuala Lumpur antara 4 November lalu hingga 22 Januari baru-baru ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment