My Add

Saturday, 5 January 2013

Suruhanjaya Kedaulatan Agama Islam dicadangkan, atasi ancaman baru

KUALA LUMPUR: Seorang ahli biro Undang-undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini mencadangkan sebuah Suruhanjaya Kedaulatan Agama Islam ditubuhkan bagi mengatasi ancaman-ancaman baru terhadap agama Islam di negara ini.

Mahamad Naser Disa berkata, suruhanjaya itu perlu dinaungi oleh Yang
di-Pertuan Agong dan dianggotai ilmuan agama supaya setiap masalah dan aduan berkaitan agama Islam dapat diselesaikan secara muzakarah.

Beliau berkata, meskipun Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf dan memartabatkan kedaulatan Islam, namun kini terdapat pihak tertentu sering melakukan pelbagai usaha bagi menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

"Islam tidak sepatutnya dijadikan bahan pertimbangan politik. Penglibatan
Majlis Raja-Raja akan dapat pastikan Islam sentiasa didaulatkan," katanya ketika
membentang kertas kerja bertajuk "Ancaman-ancaman terhadap Kedaulatan Islam
Sebagai Agama Negara" pada Seminar Mendaulatkan Islam Agama Negara (SEMAIAN) di Pusat Islam di sini.

Katanya, suruhanjaya itu perlu memastikan semua pihak termasuk rakyat bukan
Islam untuk menghormati kedaulatan Islam sebagai agama Persekutuan.

Beliau berkata, ancaman kepada Islam boleh timbul dalam situasi yang dianggap
kecil dan tidak penting seperti mengutamakan kepentingan hak asasi manusia serta mainan politik agama sesetengah pihak.

"Prinsip hak asasi manusia akhir-akhir ini telah melampaui batas agama
Islam. Tuntutan untuk membolehkan umat Islam murtad, hak kepada LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual) dan hak kesamarataan agama dikemukakan dalam suasana politik negara yang dirasakan memberi peluang untuk menghentam Islam," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mustapha Othman, berkata cadangan penubuhan suruhanjaya itu sedang dipertimbangkan dan dijangka ditubuhkan akhir tahun ini.

Beliau berkata, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia yang turut dicadang
untuk ditubuhkan telah pun mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

"Institut itu akan ditubuhkan bila-bila masa," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali berharap satu memorandum berkaitan memperkasa kedaulatan agama Islam yang ditandangani semua ilmuan agama dan tokoh perundangan terkenal negara ini dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment