My Add

Thursday 3 January 2013

Tiga nelayan diselamat selepas dua hari terapung di laut

JOHOR BAHRU, RABU, 02 Januari, 2013:: Tiga nelayan dari Tanjung Api, Kuantan diselamatkan sebuah kapal dagang semalam selepas dua hari mereka terapung di laut, kira-kira 30 batu nautika dari Tanjung Sedili, timur laut Johor.

Abdul Wahab Sidek, 62, Muhamad Abdul Mubim Abdul Wahab, 27, dan Mazuki Mohamad, 47, diselamatkan kapal 'Nueva Esperanza' kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Sedili, Kepten Maritim Rozali Mohd Said berkata, bot fiber Kelas A mereka dilaporkan karam akibat dipukul ombak ketika mereka menangkap ikan kira-kira 53 batu nautika dari Kuantan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pada jam 4.50 petang semalam, APMM menerima maklumat bahawa kapal terbabit yang sedang dalam pelayaran dari Kuantan menuju Singapura telah menyelamatkan tiga mangsa bot karam.

Sehubungan itu, APMM kemudiannya menghantar anggota ke kapal tersebut yang ketika itu berada kira-kira lima batu nautika dari selatan Tanjung Pengelih, katanya.

Rozali berkata, ketiga-tiga nelayan itu berada dalam keadaan selamat tetapi keletihan.

Beliau berkata, Abdul Wahab yang juga tekong bot terbabit memberitahu setelah bot mereka karam, mereka hanya berpaut kepada tong ikan sehingga mereka ditemui kapal itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment