My Add

Tuesday, 26 November 2013

Mesir luluskan undang-undang kawal tunjuk perasaan

 * BEBERAPA penyokong serta penentang bekas Presiden, Mohammed Mursi melontar batu sesama sendiri dalam satu pertempuran di Nasr City, Kaherah, pada 22 November lalu. - REUTERS
KAHERAH, ISNIN, 25 November, 2013: Kerajaan sementara Mesir pimpinan Presiden Adly Mansour, semalam meluluskan satu undang-undang baharu untuk mengawal tunjuk perasaan dan memberi kuasa kepada pihak keselamatan melarang sebarang bantahan yang boleh mengancam keselamatan negara.

Jurucakap Presiden, Ehab Badawi berkata, berdasarkan undang undang-undang terbabit, penunjuk perasaan boleh dikenakan hukuman sehingga lima tahun penjara jika didapati bersalah mengikut kesalahan sama ada memakai penutup muka atau membawa senjata ketika menyertai bantahan.

Pelaksanaan peraturan baharu itu dibuat selepas pihak tentera menilai kesan tunjuk perasaan besar-besaran yang diadakan pada Julai lalu oleh penyokong pergerakan Islam bagi membantah penggulingan bekas Presiden, Mohammed Mursi.

Walaupun undang-undang itu mendapat kritikan kumpulan hak asasi manusia, Perdana Menteri sementara, Hazem Beblawi menegaskan, langkah tersebut diambil bagi mengehadkan dan melindungi hak penunjuk perasaan.

Hazem berkata, penunjuk perasaan tidak perlu meminta surat kebenaran untuk mengadakan bantahan, tetapi mereka mesti memberi notis tiga hari sebelum demonstrasi diadakan kepada balai polis terdekat.

Selain itu katanya, bantahan juga dilarang diadakan di tempat-tempat ibadat dan penganjur perlu memberi butiran tentang tujuan demonstrasi serta slogan yang akan dilaungkan.

"Pihak berkuasa juga boleh menghalang demonstrasi jika bantahan terbabit dilihat mengancam keselamatan negara.

"Pihak keselamatan juga perlu memberi amaran kepada penunjuk perasaan untuk bersurai sebelum menggunakan gas pemedih mata atau tembakan meriam air," jelasnya. - AFP/UTUSAN 

No comments:

Post a Comment