Op Cantas: 12 positif dadah, 7 pendatang asing ditahan
Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
SEREMBAN, AHAD, 24 November, 2013: Sebanyak 12 individu termasuk lima wanita ditahan polis selepas didapati positif mengambil dadah jenis syabu dalam Op Cantas Khas Narkotik di beberapa pusat hiburan di Taman AST di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Baharom Othman berkata, operasi yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen negeri itu bermula kira-kira pukul 9.30 malam dan berakhir pukul 12.30 tengah malam.
Katanya, dalam operasi itu sebanyak 159 orang termasuk pekerja dan pengunjung beberapa pusat hiburan serta rumah urut yang terdapat di kawasan itu diperiksa.
"Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan kita menahan 12 pengunjung berusia 20-an hingga 30-an kerana didapati positif mengambil dadah jenis syabu.
"Mereka terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita tempatan serta tiga wanita warga China,"" katanya di sini hari ini.
Menurut Baharom, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh.
Sementara itu, Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, dalam operasi yang sama pihaknya menahan tujuh pendatang asing tanpa izin kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Beliau berkata, mereka terdiri daripada dua lelaki warga Myanmar dan masing-masing seorang lelaki warga Indonesia, Nepal dan Vietnam.
"Kami turut menahan dua wanita warga Indonesia dan Vietnam kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa.
"Kesemua mereka dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen kerana tiada dokumen pengenalan diri," jelasnya. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment