My Add

Sunday 8 July 2012

2 anggota polis ditahan miliki dadah

KUALA TERENGGANU, AHAD, 08 Julai, 2012: Dua anggota polis ditahan awal hari ini kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine (pil kuda) dan syabu, di Paka, Dungun. 

Kedua-dua anggota itu, masing-masing lans koperal dan koperal, ditahan jam 2.45 pagi di hadapan sebuah kedai oleh anggota polis Paka yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut. 

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil, berkata anggota polis yang berusia 31 tahun terbabit bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan, Pahang, manakala seorang lagi berusia 26 tahun bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Selangor. 

"Kedua-dua mereka ditahan di dalam sebuah Proton Persona yang diletak di hadapan sebuah kedai makan dan hasil pemeriksaan awal, kedua-dua suspek tidak mempunyai barang yang salah," katanya. 

Hasil siasatan awal, katanya, polis juga mendapati anggota polis yang bertugas di IPK Pahang itu sudah digantung kerja berdasarkan kad kuasa warna merah yang ditemui di dalam kereta berkenaan. 

"Siasatan lanjut ke atas kenderaan yang dinaiki dua anggota terbabit, polis menjumpai satu kotak kecil dipercayai dadah jenis syabu kira-kira 6 gram serta 27 biji pil kemerahan dipercayai pil kuda yang disorok di dalam bonet," katanya. 

Hamzah berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-kedua suspek positif dadah jenis Methamphetamine. 

Hamzah berkata, polis turut menjalankan siasatan lanjut sama ada mereka terbabit dengan kes jenayah lain. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment