My Add

Friday 20 July 2012

2 polis nyaris maut dihimpit kereta

KUALA LIPIS, JUMAAT, 20 Julqi, 2012: Dua anggota polis bermotosikal yang sedang membuat rondaan bagi mencegah jenayah nyaris maut selepas dihimpit dan cuba dilanggar sebuah kereta bagi ”melindungi” sebuah lori yang membawa muatan mercun, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10.15 pagi itu, kedua-dua anggota polis berpangkat koperal itu yang menaiki sebuah motosikal cuba memberhentikan sebuah lori yang sedang menghala ke Kampung Bungor, dekat sini, untuk membuat pemeriksaan di kawasan Felda Kechau.

Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki tiba-tiba memintas dan bertindak menghimpit anggota polis terbabit, dipercayai dengan niat untuk menyebabkan mereka terjatuh.

"Anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis itu terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara.

"Kereta terbabit bagaimanapun berterusan menghimpit dan cuba melanggar anggota polis terbabit menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah kereta terbabit,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Lori yang dipandu seorang lelaki bersama seorang kelindan serta kereta terbabit kemudiannya berjaya melepaskan diri.

Hasil siasatan, polis menemui lori terbabit yang ditinggalkan di satu kawasan kebun getah di Kampung Jeram Landak, dekat sini pada pukul 9.45 malam kelmarin dan menemui 83 kotak besar mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api.

Abdul Razak berkata pada pukul 12.45 tengah hari semalam, polis menerima maklumat dari Balai Polis Daerah Pasir Mas, Kelantan berhubung seorang lelaki yang cedera akibat terkena serpihan peluru.

"Lelaki terbabit cuba mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas, Kelantan.

Polis Pasir Mas kemudian menahan lelaki terbabit dan dua rakan yang membawanya ke hospital berkenaan,” katanya. — BERNAMA


No comments:

Post a Comment