My Add

Thursday 19 July 2012

Dakwaan PM campur tangan projek LRT tidak berasas

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 19 Julai, 2012: Dakwaan dalam media yang mengatakan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, campur tangan dalam pemberian projek lanjutan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang tidak berasas dan tidak patut. 

Sebaliknya, kerajaan masih dalam proses melaksanakan kajian usaha wajar projek bernilai berbilion ringgit itu, kata Pengurus Media Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana), Azhar Ghazali, dalam satu kenyataan hari ini. 

"Sebagai Pengerusi bagi pemberian tender melebihi RM300 juta, Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, berkewajipan menimbangkan semua cadangan dan memutuskan bersama dengan ahli jawatankuasa mengenai pemberian projek itu atau mendapatkan lebih banyak penjelasan jika perlu daripada tender berkenaan. 

"Adalah tidak adil menyalah tafsir proses yang wajar dengan menggunakan istilah seperti "campur tangan" sedangkan jawatankuasa itu diberikan kuasa untuk membuat keputusan yang perlu," katanya. 

Prasarana, pengendali dan pemilik aset projek lanjutan Laluan LRT itu menyuarakan kebimbangan tentang kenyataan-kenyataan yang dibuat dalam media oleh pelbagai pihak yang mengatakan kerajaan mengganggu proses pemberian kontrak lanjutan LRT laluan Ampang itu. 

Sambil menganggap dakwaan sedemikian sebagai tidak adil, Azhar berkata setakat ini tiada keputusan muktamad telah dibuat mengenai pemberian kontrak itu. 

Satu pengumuman rasmi mengenai pemberian projek itu akan dibuat oleh Kementerian Kewangan apabila semua perkara berhubung kontrak itu telah dipertimbang dan dikaji, katanya. 

Prasarana, yang ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan, berkata proses penilaian tender, cadangan dan pemberian projek merupakan prerogatif kementerian itu. 

Dalam proses penilaian tender, kecekapan teknikal setiap penender dikaji, manakala pemerhatian direkodkan sekiranya ada kelemahan yang didapati dalam penyerahan tender. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment