My Add

Sunday 1 July 2012

Kanak-kanak cerita pengalaman pahit tinggal di Lampung

SEPANG, SABTU, 30 Jun, 20122: "Kami hanya diberi makanan dua senduk nasi sehari dan dipaksa masuk ke hutan dari pagi hingga ke petang dan mencari hasil hutan untuk dijual dan hasil jualan dibahagikan dengan ibu tiri kami. 

"Sekiranya kami membuat kesalahan kecil kami akan dipukul," kata seorang daripada tiga kanak-kanak rakyat Malaysia yang 'diselamatkan' Pemuda Umno selepas 'disimpan' ibu tiri mereka di Lampung, Indonesia untuk dijadikan tebusan bagi memeras ugut bapa kandung tiga beradik itu.

Nurul Safiza Fitri, 11, anak kedua daripada empat adik beradik berkata sejak tinggal dengan ibu tiri berusia 25 tahun itu, mereka dipaksa bekerja dan selalu dipukul walaupun atas kesalahan kecil, selain tidak dibenarkan bersekolah.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Khairun Aseh, berkata kejayaan misi membawa pulang Nurul Safiza serta dua adiknya, Muhammad Nurhan, 9, dan Nurmasyita Amiera, 8, adalah berkat kerja keras dua pegawai biro itu yang bertolak ke Lampung pada 26 Jun lalu. 

Bagaimanapun, kakak mereka Siti Norzana, 12, tidak dapat dibawa pulang kerana tinggal berasingan dengan saudara ibu tirinya di Temusuci, Indonesia. 

"Walaupun pelbagai halangan yang perlu ditempuhi pegawai kami dalam misi membawa pulang tiga beradik itu di sana, termasuk memandu hampir tujuh jam, namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk mengeluarkan adik-beradik itu daripada kehidupan yang daif di sana. 

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada kedutaan kita di Indonesia dan pihak berkuasa republik itu kerana telah membantu dalam proses membawa pulang kanak-kanak itu," katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan tiga beradik tu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Kahirun berkata rentetan masalah itu bermula apabila ibu kandung kanak-kanak terbabit Mohaina Asmad, 34, yang berasal dari Sabah, meninggalkan mereka dan suaminya, Nordi Adi, 57, pada 2005. 

Nordi kemudian berkahwin dengan wanita Indonesia Kasini Kaslam pada 2007 dan mereka sekeluarga mengambil keputusan menetap di republik itu. 

Setahun kemudian, Nordi pulang ke negara ini seorang diri untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum mengambil keputusan untuk menetap terus di Malaysia. 

"Bagaimanapun, hasrat itu dihalang isterinya. Paling teruk, isterinya mengugut supaya diberikan sejumlah wang sebagai syarat untuk membawa pulang keempat-empat anaknya ke negara ini," katanya. 

Nordi kemudian mengeluarkan RM27,000 daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan diberikan kepada isterinya, namun tindakan itu adalah sia-sia kerana wanita tersebut tetap berkeras untuk tidak membenarkan empat beradik terbabit dibawa pulang. 

"Nordi kemudian meminta bantuan kita untuk membawa pulang anak-anaknya, dan Alhamdulillah, berkat usaha kita dan doa semua pihak, mereka berjaya dibawa pulang dan menikmati hidup yang lebih baik di sini," katanya. 

Menceritakan pengalamannya dalam misi itu, Penolong Pegawai Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Zuhairi Selamat, 39, berkata pelbagai halangan terpaksa ditempuhi beliau dan rakannya, termasuk berdepan masyarakat kampung yang tidak memahami situasi sebenar semasa proses rundingan dilakukan. 

"Kita terpaksa berdepan masalah dengan pihak Imigresen kerana kanak-kanak tersebut memasuki Indonesia secara tidak sah. Mereka tidak mempunyai sebarang dokumen ketika memasuki republik itu. Namun hasil perbincangan kedua-dua pihak, akhirnya mereka dibenarkan berlepas ke negara ini," katanya. 

Sementara itu, Nordi berkata dia tidak dapat membayangkan keadaan anaknya jika mereka tidak dibawa pulang ke Malaysia. 

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana sudi membawa pulang anak-anak saya. Tanpa bantuan mereka, mungkin saya tidak dapat lagi bertemu dengan mereka," katanya sambil menambah isteri keduanya itu telah diceraikan semalam dengan talak satu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment