My Add

Monday 16 July 2012

Kerajaan Selangor ambil alih pengurusan SYABAS

KUALA LUMPUR, ISNIN, 16 Julai, 2012:: Kerajaan Selangor memutuskan untuk mengambil alih pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dalam tempoh 14 hari selepas didakwa tidak mampu memberi perkhidmatan air yang baik kepada pengguna. 

Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata keputusan itu diambil menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri akan menghantar surat memohon persetujuan daripada kerajaan pusat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Pada Sabtu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif SYABAS, Datuk Ruslan Hassan mengesahkan krisis bekalan air kini melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan kapasiti pengeluaran air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) tidak mampu menampung permintaan sejak kebelakangan ini. 

Keadaan ini telah menyebabkan tekanan air rendah sehingga menjejaskan bekalan air kepada kurang sejuta penduduk di sekitar kawasan Petaling, Klang, Kuala Lumpur dan Hulu Langat. 

Senario ini menyebabkan beberapa LRA beroperasi pada tahap maksimum atau melepasi kapasiti reka bentuknya serta berhadapan tekanan untuk memenuhi permintaan. 

Media sebelum ini melaporkan bahawa kira-kira 1.8 juta pengguna di beberapa kawasan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mengalami krisis bekalan air sekiranya Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor serta pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tidak siap menjelang 2014. 

Justeru itu, Ruslan meminta kerajaan negeri Selangor dan Kerajaan Pusat segera berbincang bagi membina loji rawatan itu mengikut jadual ditetapkan. 

Syabas ditubuhkan pada 8 Julai 1996 di bawah Akta Syarikat 1965 untuk menjalankan penswastaan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan telah mengambil alih tanggungjawab Perbadanan Urus Air Selangor. 

Ia dilantik oleh kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan bagi mempertingkat dan menambah baik sistem dan perkhidmatan bekalan air di Selangor memandangkan pengurusan sebelumnya menghadapi kendalaan kewangan, pengurusan tidak efektif, standard mutu air yang rendah dan bekalan air terawat yang tidak konsisten. 

SYABAS diberikan konsesi untuk mengurus, mengendali dan membekal air bersih bermutu bagi tempoh 30 tahun mulai 1 Januari 2005. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment