My Add

Thursday 5 July 2012

Kolaborasi pendidikan

*MUHYIDDIN merangkap Menteri Pelajaran Malaysia mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan New Zealand, Steven Joyce (kanan) selepas menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN di Yogyakarta, semalam. - BERNAMA
Oleh Saharuddin Musthafa
YOGYAKARTA, RABU, 04 Julai, 2012: Malaysia sedia berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam membangunkan rangka kerja tanpa sempadan untuk mengglobalisasikan sektor pendidikan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Hasrat berkenaan, jelas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seiring dengan usaha merealisasikan kolaborasi pendidikan berteraskan konsep Satu Jendela ASEAN (Asean Single Window).

Menurut beliau, pengenalan konsep Satu Jendela ASEAN yang bakal menggerakkan pembangunan Komuniti ASEAN 2015 perlu menawarkan banyak keistimewaan dan akses kepada semua dengan pengisian utama haruslah merangkumi sistem pendidikan yang berkualiti dan cemerlang.

“Konsep Satu Jendela juga haruslah menawarkan fleksibiliti yang membolehkan pertukaran berlaku di kalangan negara yang menawarkan sistem pendidikan yang berbeza.

“Program mobiliti pertukaran sistem kredit yang diperkenalkan antara universiti-universiti di Malaysia, Indonesia dan Thailand merupakan satu daripada inisiatif yang akan diperkenalkan dalam rangka kerja tanpa sempadan itu," katanya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN ke-7 (ASED) di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyatakan keyakinan beliau bahawa pengenalan konsep Satu Jendela ASEAN boleh mengukuhkan jalinan persahabatan dalam sektor pendidikan dalam kalangan negara-negara anggota serantau.

“Sebagai sebuah komuniti kita harus bersatu dan memiliki semangat yang jitu dengan mengambil kira cabaran-cabaran yang ada di luar sana.

“Justeru adalah satu keperluan untuk membangunkan program keperluan bersama yang pada akhirnya akan melancarkan usaha meningkatkan sistem pendidikan," katanya.

Pada mesyuarat itu, Muhyiddin turut memberi penekanan bahawa ASEAN juga perlu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti tenaga pengajar, kepimpinan dan kurikulum serta sistem penilaian yang relevan dalam melahirkan individu yang inovatif dan kreatif.

“Justeru, adalah penting untuk kita saling mempelajari hal yang baik dalam aspek-aspek yang disebutkan supaya tidak ada lagi jurang antara kita," ujarnya.

Pada masa sama, Muhyiddin memberitahu, Malaysia mengalu-alukan usaha yang dianjurkan oleh setiap negara anggota ASEAN untuk meningkatkan sistem pendidikan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment