My Add

Sunday 8 July 2012

Mayat mangsa serangan buaya di Batang Saribas ditemui

*ANGGOTA RELA dan polis mengangkat mayat Drahman Chali yang menjadi serangan buaya di seberang Kampung Medang, Spaoh, pagi ini. - Foto NSTP/Adi Safarman.

KUCHING, SABTU, 07 Julai, 2012: Mayat pemotong pokok rumbia dipercayai diserang buaya di Batang Saribas kelmarin, ditemui dekat tebing sungai di seberang Kampung Medang, Spaoh jam 7 pagi ini, kira-kira 20 kilometer dari tempat mangsa diserang.

Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superitendan Sarifuddin Mustaffa, ketika dihubungi berkata beberapa anggota badan Drahman Chali, 55, dari Kampung Hilir Beladin seperti tangan dan kaki sudah putus manakala kepalanya hampir terputus.

"Selepas membawa mayat itu ke Hospital Betong, anggota keluarganya mengesahkan mayat itu adalah mangsa yang dilaporkan diserang buaya sebelum ini," katanya. 

Sarifuddin berkata, berikutan penemuan mayat itu, operasi mencari dan menyelamat yang turut membabitkan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan dihentikan.

Pada 19 Jun lalu, seorang wanita iaitu Siah anak Munsong, 42, menjadi korban serangan buaya ganas di Sungai Seblak, juga dalam bahagian Betong.

Sementara itu di SANDAKAN, mayat murid Tahun Enam yang lemas dalam tragedi bot karam berhampiran Pulau Timbang dekat sini semalam, ditemui hari ini kira-kira tiga batu nautika dari tempat kejadian. 

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin Wilayah Sandakan, ASP Gan Ping Sin, berkata mayat Zulaika Amri, 12 ditemui terapung di perairan berhampiran Kampung Sinora kira-kira 1 petang tadi oleh penduduk kampung yang menyertai operasi mencari.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent di sini untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi. 

Semalam, Zulaika bersama lima lagi iaitu bapanya Amri Tutuh, 30-an, dua adik lelaki, adik perempuan dan sepupunya, Sabturina Mohd Noor, 10, dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan Kampung Baru ke Kampung Serabut sebelum bot dikemudi Amri karam. 

Dalam kejadian 1 petang itu, Sabturina ditemui mati lemas, manakala Amri dan tiga lagi anaknya yang berusia antara setahun dan lima tahun berjaya diselamatkan. 

Amri dan dua anaknya bagaimanapun dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent bagi rawatan lanjut dan mereka dilapor berada dalam keadaan stabil. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment