My Add

Thursday 12 July 2012

Pemungut durian diserang gajah

BESUT, KHAMIS, 12 Julai, 2012: Seorang pekerja sekolah nyaris maut diserang seekor gajah liar ketika dia sedang memungut buah durian di dusunnya di kawasan Hutan Jil dekat Hutan Lipur Lata Tembakah, Hulu Besut semalam.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, Mokthar Abu Bakar, 51, Pembantu Am Sekolah Kebangsaan Oh, Kampung Oh, Jabi berkata dia terkejut apabila diterpa oleh seekor gajah yang muncul secara tiba-tiba dari dalam semak berhampiran.

"Walaupun terkejut, saya sempat melarikan diri ke arah kereta yang saya tinggalkan tidak jauh dari tempat kejadian tanpa saya sempat mengambil buah durian yang gugur,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Bukit Payong di sini petang tadi.

Menurut Mokthar, dia memang menyedari kehadiran tiga ekor gajah berhampiran kebunnya sejak Ahad lalu, tetapi terpaksa memberanikan diri untuk mengutip durian petang semalam untuk dijual.

"Saya telah cuba mengusir dengan bunyi letupan senapang saya ketika menembak tupai beberapa hari lalu, tetapi nyata gajah tersebut langsung buat tidak kisah,” katanya.

Katanya semasa kejadian itu dia berseorangan dan benar-benar terkejut apabila seekor gajah tanpa gading keluar secara tiba-tiba dari semak yang terletak bersebelahan kebunnya, yang jarak gajah itu kira-kira 25 meter darinya sebelum dia melarikan diri.

Difahamkan kumpulan gajah itu telah berada di kawasan tersebut sejak beberapa bulan lalu dan penduduk kampung serta para penoreh getah sering terserempak dengan kelibat binatang liar itu.

Ketua Perhilitan Besut dan Setiu, Edley A. Jiliun ketika dihubungi memberitahu Perhilitan akan menghantar segera kakitangan ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan sebelum tindakan lanjut dilakukan demi keselamatan penduduk setempat. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment