My Add

Saturday 7 July 2012

Pilih pemimpin berwibawa - PM

 *NAJIB ditemani Rosmah Mansor bersama para nelayan yang menerima bantuan enjin bot sangkut selepas majlis penyerahan bantuan enjin bot dan bot fiber di Bangunan UMNO Pekan, semalam.


Oleh HERMAN HAMID
PEKAN, JUMAAY, 06 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kisah manis Malaysia yang sarat dengan kejayaan sejak dulu sampai sekarang bukanlah sesuatu yang boleh berlaku dengan sendiri sebaliknya bergantung kepada faktor kepimpinan.

Menurut Perdana Menteri, jika kepimpinan yang dipilih tidak mempunyai kemampuan, kewibawaan dan wawasan sehingga tidak mampu melaksanakan apa yang dirancang maka kisah kejayaan itu akan bertukar menjadi igauan dan cerita menyedihkan.

''Dan perubahan besar yang kita alami sejak dulu hingga sekarang bukan hanya tertumpu di bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Lembah Klang tetapi turut menjalar di kawasan luar bandar.

''Daripada perkara besar sehinggalah yang kecil, hampir semua dapat diusahakan kerajaan kita dan ini bukanlah sesuatu yang boleh berlaku dengan sendirinya, tetapi ia adalah soal kepimpinan," katanya.

Beliau berucap pada majlis penyampaian bantuan pakaian hari raya kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penyerahan enjin bot dan bot fiber kepada nelayan di Bangunan UMNO Pekan, di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan kepimpinan UMNO Bahagian Pekan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya tidak mengambil mudah nikmat yang diperolehi terutama keamanan dan kestabilan kerana semua itu akan terlepas jika tersilap membuat perhitungan.

Dalam pada itu, Najib sekali lagi mengingatkan mengenai sikap pembangkang yang gemar mengajar perkara-perkara yang tidak baik kepada rakyat menerusi tiga perkara yang pernah disebutnya sebelum ini.

Katanya, sedangkan tiga perkara berkenaan yang cuba diterapkan kepada rakyat iaitu hutang tak perlu dibayar, budi tidak perlu dikenang dan janji tidak perlu ditunai bertentangan ajaran agama.

Sementara itu, Najib turut menyerahkan bantuan enjin sangkut Red 1 dan bot fiber kepada 52 nelayan dari sekitar daerah itu.

Bantuan enjin dan bot sumbangan daripada syarikat milik penuh kerajaan, Technology Park Malaysia Corporation Sdn. Bhd. (TPM) itu bernilai RM7,000 setiap satu.

Enjin 13 kuasa kuda itu mampu bergerak sehingga kelajuan 17 knot dan memerlukan pengendalian seorang nelayan sahaja kerana ia mampu bergerak lancar di setiap sudut berbanding enjin sangkut.

Pada majlis yang sama, Najib turut menyampaikan sumbangan baju raya kepada 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh daerah itu.

Penyerahan baju raya itu disampaikan kepada wakil setiap NGO yang mewakili ahli mereka yang berjumlah kira-kira 8,000 orang.

Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menerima sumbangan sebanyak 1,000 kelambu berubat daripada syarikat Posco dari Korea Selatan.

Kelambu terbabit akan diagihkan kepada penduduk luar bandar terutamanya masyarakat Orang Asli dan sekolah di luar bandar.

Kemudiannya, Najib turut menyerahkan lima buah van kepada UMNO Bahagian Pekan bagi membantu rakyat di Parlimen itu.

Penyerahan van terbabit disampaikan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Parlimen Pekan iaitu ADUN Chini, Datuk Abu Bakar Harun; ADUN Peramu Jaya, Ibrahim Awang Ismail; ADUN Bebar, Datuk Ishak Muhammad dan ADUN Pulau Manis, Khairuddin Mahmud. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment