My Add

Wednesday 25 July 2012

Polis tumpas geng pecah rumah di Johor Bahru

JOHOR BAHRU, RABU, 25 Julai, 2012: Polis menumpaskan satu geng pecah rumah dengan penahanan tiga individu termasuk seorang wanita di sebuah rumah di Taman Desa Jaya, Seri Alam di sini, malam tadi. 

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata mereka yang berumur antara 29 dan 31 itu ditahan pada jam 10.45 malam dan dipercayai terbabit dengan sekurang-kurangnya enam kes pecah rumah di sekitar kawasan Wilayah Iskandar.

"Dalam serbuan itu polis merampas sebuah kereta yang sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan Setia Indah. 

"Turut dirampas pelbagai barangan lain dipercayai hasil curi seperti televisyen, 32 jam tangan, 16 telefon bimbit, 12 beg duit wanita, sembilan komputer riba dan tiga pemain DVD selain beberapa peralatan untuk pecah rumah serta sebilah parang," katanya di sini, hari ini. 

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 14 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan. 

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menumpaskan satu sindiket samun yang didalangi oleh warga Indonesia dengan penahanan tiga lelaki bersenjata tiga bilah parang di Jalan Benang 9, Ulu Tiram di sini pada pagi Isnin lalu. 

Susulan penahanan kira-kira jam 5 pagi itu, polis menahan lapan lagi warga Indonesia termasuk lima wanita berumur antara 32 dan 50 tahun hasil serbuan di sebuah rumah di Jalan Dedap 30, Taman Johor Jaya, Seri Alam di sini. 

"Kita turut merampas dua bilah parang, satu pemotong, dua gelang, satu rantai emas, sembilan telefon bimbit, dua komputer riba, dan tiga jam tangan pelbagai jenama," katanya. 

Katanya, semua suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan. 

Dalam perkembangan lain, Mokhtar berkata, bermula 18 Julai lalu, polis Johor menubuhkan satu pasukan khas yang dianggotai 80 anggota polis untuk menangani masalah jenayah jalanan. 

"Pasukan ini yang berpakaian seperti orang awam akan melakukan tugas risikan, melaksanakan operasi dan menumpaskan jenayah bagi memastikan negeri ini aman tanpa jenayah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment